Jangan jadikan rasa tidak puas hati sebagai sebab untuk menjatuhkan pemimpin, mencemar parti, kerajaan dan mendatangkan masalah, kata Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz.

"(Walaupun) setiap individu berhak bercakap, berhak menegur dan berhak mengkritik tetapi tiada sesiapa yang berhak membuat apa-apa tuduhan yang tidak betul dan yang merupakan fitnah semata-mata," katanya.

Menurutnya dalam Umno sendiri akan sentiasa ada yang tidak puas hati kerana mereka tidak dapat memperoleh apa yang dihasratkan, ataupun gagal apabila bersaing dengan ahli-ahli Umno yang lain untuk mendapatkan sesuatu.

"Tidak ada sesiapa yang boleh memuaskan hati semua orang atas semua perkara pada setiap masa," katanya dalam ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Wanita Umno 2006 di sini hari ini.

Kuasa terhakis

Sementara itu, Rafidah berkata tuduhan-tuduhan yang berunsur fitnah nampaknya menjadi lumrah sekarang.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Umno juga akan terhakis kuasa dan kewibawaannya jika dibiarkan diasak dengan gejala pecah belah dan perpaduan ahli-ahli dileraikan oleh fitnah, dakyah dan kepentingan kelompok.

"Maka kita sebagai ahli-ahli parti perlu ingat bahawa bersatu teguh, bercerai roboh," katanya.

Apa-apa yang mengganggu-gugat serta halangan sama ada dalam parti, dalam masyarakat ataupun dari luar akan menghalakan perhatian kerajaan dan rakyat kepada perkara-perkara yang tidak produktif dan yang mungkin memecahbelahkan sesama sendiri.

Rafidah berkata bagi orang Melayu dan Bumiputera, agenda mereka masih ada yang tertangguh.

"Dan tidak dapat dinafikan bahawa setiap negara hanya boleh maju dan membangun jika suasana persekitaran mendorong dan menggalakkan," katanya.