Paling Popular
Terkini

Pertemuan dengan pemimpin PAS tidak bincang soal agihan kerusi, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan.

Sebaliknya kata Mohamad ia sekadar pertemuan baisa "sambil minum teh tarik" kerana sudah lama tidak berjumpa.

"Kami minum teh tarik saja, lama tak jumpa," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Jelasnya, ia sekadar pertemuan biasa yang tidak menyentuh soal agihan kerusi antara Umno dan PAS.

Selain Mohamad, antara yang dilihat hadir melalui gambar pertemuan itu ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada 3 Sep lalu, dilaporkan persefahaman antara Umno dan PAS mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah mencapai 70 peratus menerusi beberapa mesyuarat Muafakat Nasional (MN) yang diadakan sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Mohamad yang berkata menerusi persefahaman itu, mana-mana parti memenangi sesuatu kerusi sebelum ini akan kekal bertanding di kawasan berkenaan pada PRU15.

“Memang setiap kali bermesyuarat, kita bincang berkenaan persiapan menghadapi PRU15, di peringkat MN, kita juga ada jawatankuasa pembahagian kerusi.

"Umno dan PAS mesyuarat banyak kali, persefahaman hampir 70 peratus dicapai, seperti saya katakan kerusi yang kita menang, kita punya, kerusi PAS menang, adalah PAS punya.

“Formula masih sama, tidak timbul soal untuk kita ubah atau keluar daripada formula dipersetujui, ” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Udangan Negeri Ke-14.

Lihat Komen
ADS