Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kuala Selangor dijangka terawal pulih bekalan air

Kawasan Kuala Selangor dijangka paling awal menerima bekalan air selepas kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) siap dilaksanakan awal pagi tadi.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kawasan di Klang pula dijangka menjadi lokasi terakhir menerima agihan bekalan air dari LRA berkenaan.

“Kawasan yang berdekatan dengan Kuala Selangor antara kawasan paling awal akan menerima (dan) pulih manakala kawasan paling akhir ialah di Klang atau sekitar Andalas tapi pada masa sama, kita telah menasihati orang ramai untuk menyimpan air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan @ Shah Alam di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Katanya beberapa lokasi sudah mula menerima bekalan air sejak 4 petang tadi kerana proses penyelenggaraan selesai lebih awal daripada jangkaan.

“Saya tidak pasti lagi berapa banyak kawasan (yang sudah dapat bekalan air) sekarang ini tetapi empat ke lima peratus. Menjelang esok, semakin banyak tempat (peroleh bekalan air) dan boleh mencecah 50 ke 60 peratus.

“(Buat masa ini), kolam agihan imbangan ini kosong selama 14 jam. Jadi kita memerlukan 12 hingga 15 jam untuk mengisi air di kolam itu dan bila kolam imbangan itu sudah baik, tekanannya sudah sempurna, semakin cepat kawasan serta lokaliti dapat dipulihkan,” katanya.

Media melaporkan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1 telah siap dilaksanakan pada 5 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan memaklumkan setakat 6 pagi tadi, sistem rawatan air di LRA SSP1 telah distabilkan dan bekalan air mula disalurkan ke sistem agihan.

Sementara itu, mengulas persediaan kerajaan negeri jika berlakunya peningkatan kes Covid-19 disebabkan aktiviti rentas negeri, Amirudin berkata pihaknya bersedia merangka semula rancangan dalam memastikan keadaan wabak di Selangor terkawal dan mengingatkan orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Bernama

Lihat Komen
ADS