mk-logo
Berita
'Tiada keputusan isu PRN Melaka, Umno akan mesyuarat lagi'

Umno akan bermesyuarat sekali lagi berhubung Pilihan Raya Kecil (PRN) Melaka, kata Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

Ini selepas menurutnya, mesyuarat partinya malam ini masih tidak mencapai sebarang keputusan.

"Saya tidak tahu. Tiada keputusan lagi.

"Kita akan meeting (mesyuarat) lagi sekali," katanya ketika diminta mengulas mengenai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini di Ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur.

MKT Umno malam ini bermesyuarat untuk menentukan sama ada akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Sementara itu, dalam kenyataan media selepas mesyuarat itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata bahawa partinya akan bersiap sedia bagi menghadapi PRN Melaka.

"Mesyuarat bulanan MKT Umno yang diadakan hari ini telah membincangkan antara lain mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Adalah diarahkan agar jentera parti di setiap peringkat membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi PRN ini dengan menuruti SOP yang akan ditetapkan oleh SPR," katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu turut berkata bahawa MKT juga mengesahkan pengguguran keahlian Umno terhadap Idris Haron (Adun Sungai Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) yang sebelum itu adalah ahli di Bahagian Tangga Batu, Melaka.

Pada 5 Okt lalu, Rauf yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Ini selepas Idris dan Nor Azman bersama dua lagi Adun masing-masing dari Bersatu dan Bebas bertindak menarik balik sokongan kepada ketua menteri  Sulaiman Md Ali.

Mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan sebuah pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata bahawa partinya tidak berbincang mengenai kerjasama antara Umno-PAS di mesyuarat hari ini.

"Kita akan maklum kemudian. Kita akan bincang dalam mesyuarat seterusnya," katanya ketika ditanya mengenai kerjasama Umno-PAS di PRN Melaka.

Untuk rekod, pada 13 Okt Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun PAS pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan datang.

Umno dan PAS memeterai piagam bersama untuk membentuk Muafakat Nasional semasa kedua-dua parti itu menjadi pembangkang.

Bagaimanapun selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan, PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu tanpa berbincang terlebih dulu dengan Umno.

Pada masa sama, hubungan Umno dengan Bersatu - yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Umno - terus tegang.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini