Kerajaan melihat media sebagai rakan dalam usaha membina masyarakat demokratik yang bertanggungjawab tetapi tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan kebebasan yang diberikan itu.

Ketika mengingatkan demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kebebasan tidak boleh melepaskan diri sesiapa dari tanggungjawab.

"Kebebasan perlu mengenali batas dan sempadan. Kebebasan perlu diadun dalam acuan sebuah negara muda yang warganya dari pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa," tegasnya dalam ucapan dasar di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, perpaduan dan keharmonian antara rakyat pelbagai kaum sama sekali tidak boleh dikompromi dan faktor keselamatan negara dan ketenteraman awam tetap memerlukan pengawasan tegas.

"Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan kebebasan yang diberikan," katanya.

Namun begitu, Abdullah berkata, beliau akan memenuhi jaminannya untuk menggalakkan persekitaran yang lebih terbuka, selaras dengan amalan demokrasi yang sihat.

Kebebasan mutlak

"Sifat terbuka ini adalah sebahagian dari keperluan untuk merealisasikan impian mencapai taraf negara maju," katanya sambil menambah, ia adalah salah satu daripada sembilan teras Wawasan 2020 untuk melahirkan masyarakat demokratik yang lebih matang.

Sebelum itu, ketika bercakap mengenai demokrasi, Perdana Menteri berkata ia tidak bererti kebebasan mutlak yang membolehkan kebebasan untuk menyentuh sensitiviti agama, kaum, budaya dan bahasa.

Tegasnya, demokrasi mengutamakan amalan perundingan dan budaya perbincangan di mana wakil rakyat diberi peluang menilai prestasi kerajaan manakala cabang eksekutif kerajaan kini ditegur secara terbuka, bukan sahaja oleh pembangkang tetapi juga penyokong kerajaan dan rakyat jelata.

"Dalam parti ianya diamalkan dalam Majlis Tertinggi (MT), dalam biro politik, dalam jawatankuasa pengurusan dan dalam pelbagai biro dan jawatankuasa yang dibentuk parti. Dalam kerajaan ia diamalkan di kalangan anggota Jemaah Menteri dan kakitangan awam," tambahnya.

Abdullah berkata, negara yang bercakap kepada bangsanya harus mempunyai saluran membolehkan kebimbangan rakyat dapat diluahkan.

"Kritikan konstruktif digalakkan. Percanggahan pendapat dilihat secara objektif dan tidak semestinya dianggap sebagai tentangan terhadap kerajaan," tegas Perdana Menteri sambil menyifatkan media sebagai rakan dalam usaha membina masyarakat demokratik yang bertanggungjawab.

Kelemahan kerajaan

"Kerana itu, media mesti bersifat lebih terbuka menyiarkan berita yang memaparkan kesilapan kerajaan, agensi kerajaan, jabatan kerajaan. Pemimpin kerajaan, pemimpin Umno, wakil rakyat Barisan Nasional tidak terlepas dari penilaian media secara kritikal.

"Pihak media semakin berani menyiarkan berita yang memperlihatkan kelemahan kerajaan dan kesilapan anggota pentadbiran. Ada di kalangan anggota kerajaan dan ahli parti yang berasa resah. Ada yang menganggap Perdana Menteri telah hilang kawalan.

"Sebenarnya, saya lebih bersedia melihat perbalahan hangat meletus di muka akhbar daripada rusuhan membara di muka bumi. Saya berusaha untuk membawa masyarakat Malaysia menerima realiti dunia di era teknologi maklumat, di era yang menuntut kepada keterbukaan berita," katanya

Namun begitu, Abdullah mengingatkan pihak media supaya tidak terperangkap dengan isu sensasi yang boleh menjejaskan hubungan harmoni antara rakyat serta isu-isu yang boleh menjelaskan ketenteraman awam dan mengancam keselamatan negara.

"Pengurusan akhbar yang matang dan bijaksana akan dapat mencapai titik perimbangan yang dapat membina amalan media yang sihat, memahami masalah yang dihadapi rakyat dan prihatin terhadap masalah yang perlu ditangani oleh negara," tegasnya.