Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melaka memilih pada 20 November
Diterbitkan:  Oct 18, 2021 12:15 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Nota editor: Berita sebelum ini menyebut 28 November sebagai tarikh pilihan raya. Agensi berita Bernama telah membetulkan tarikh pada intro dan tajuk. Kesalahan itu amat dikesali.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri Melaka, kata pengerusinya, Abdul Ghani Salleh, hari ini.

Hari penamaan calon adalah pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November, katanya pada sidang media, di Melaka hari ini. Tempoh hari berkempen adalah selama 12 hari.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan pada 4 Oktober susulan cubaan rampasan kuasa yang tidak berjaya yang diketuai oleh bekas ketua menteri Umno, Idris Haron dan tiga yang lain.

Tiga yang lain itu adalah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Kerajaan Melaka yang diterajui oleh BN diwakili oleh 17 orang Adun, yang terdiri dari 14 dari Umno, dua dari Bersatu dan seorang mesra BN, sementara pembangkang mempunyai 11 kerusi, iaitu tujuh dari DAP dan masing-masing dua dari PKR dan Amanah.

Pilihan raya seumpama itu di Sabah pada tahun 2020 telah mengakibatkan kebangkitan gelombang Covid-19 di negara ini.

Sehingga malam semalam, sebanyak 91.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dewasa di Melaka telah lengkap divaksinasi.

Sementara itu, Bernama turut memetik Abdul Ghani sebagai berkata bagi tujuan PRN berkenaan, SPR telah melantik seramai 28 pegawai pengurus pilihan raya dan dibantu oleh 80 penolong pegawai pengurus pilihan raya.

“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Beliau berkata daftar pemilih yang digunakan bagi PRN Melaka adalah Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun Kedua 2021 (ST2/2021) yang dikemas kini sehingga 3 Okt 2021.

Daftar pemilih itu mengandungi seramai 495,196 pengundi dan SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN berkenaan adalah sebanyak 70 peratus.

Menurut Abdul Ghani daftar pemilih tersebut membabitkan 482,550 pengundi biasa; 10,191 anggota tentera dan pasangan; 2,349 anggota polis dan 106 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) pada PRN Melaka nanti, Abdul Ghani berkata pihaknya akan memberi cadangan masa keluar mengundi menerusi sistem SPR bagi mengurangkan kehadiran pengundi yang ramai pada hari mengundi.

"Kita akan beri cadangan masa keluar mengundi melalui sistem kita seperti yang digunakan di aplikasi MySejahtera. Pengundi juga usah keluar mengundi serentak pada sebelah pagi. Kalau boleh, warga emas sebelah pagi dan tengah hari sikit untuk orang muda.

"SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu.. kita ada masa lagi," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata garis panduan berkaitan Covid-19 akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa.

Lihat Komen
ADS