Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tukang rumah, pencanting batik didakwa bunuh rakan

Dua lelaki termasuk seorang warga Kemboja didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang rakan mereka dalam satu kejadian pada 3 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh yang juga seorang tukang rumah, Nasri Roza, 29, dan pencanting batik, Mohd Faizal Akma Md Noor, 36.

Kedua-dua mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat melakukan kesalahan bunuh sehingga menyebabkan kematian warga Kemboja, Sovann Arozak, 40.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Mustapha, Kampung Penambang, Kota Bharu, kira-kira pukul 9.30 malam hingga 10 malam, 3 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sharifah Amirda Shasha tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan 24 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, Nasri mengaku bersalah atas pertuduhan berada di negara ini tanpa dokumen yang sah.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai runcit di Bukit Marak, Kota Bharu, kira-kira jam 11.20 pagi pada 5 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan tarikh 25 November depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Sebelum ini media melaporkan seorang warga kemboja meninggal dunia akibat dipukul rakan selepas perselisihan faham mengenai upah membaiki tandas.

Sovann yang bekerja sebagai buruh binaan mengalami kecederaan pada bahagian sebelah kiri kepala dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul. 

Lihat Komen
ADS