mk-logo
Berita
Adly: PH Melaka sudah ada bayangan calon hadapi PRN

PH Melaka mengakui sudah mempunyai bayangan barisan calon bagi menghadapi PRN Melaka, kata pengerusinya Adly Zahari.

Adly berkata pada awalnya persiapan berkenaan adalah bagi menghadapi PRU15 namun pihaknya akan menggunakan persiapan tersebut bagi menghadapi PRN Melaka.

“Disebabkan ia (PRN Melaka) diadakan lebih awal, kita akan muktamadkan (senarai calon). Nanti kita putuskan siapa calonnya. Tunggulah dalam sehari dua ini. Apa yang telah kita putuskan di peringkat negeri, kita akan serahkan ke peringkat seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dia bagaimanapun menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRN Melaka pada 20 Nov adalah satu langkah tergesa-gesa tetapi pihaknya akan bersedia dengan segala kemungkinan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh hari ini mengumumkan tarikh pelaksanaan PRN Melaka pada 20 Nov depan manakala penamaan calon (8 Nov) dan undi awal (16 Nov).

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Empat Adun tersebut adalah Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

-Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini