Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah RM700: Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara bekas sarjan polis
Diterbitkan:  Oct 18, 2021 7:14 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Seorang bekas sarjan polis yang diserang angin ahmar semasa menjalani hukuman penjara setahun, gagal dalam percubaan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan menerima rasuah RM700 sebagai dorongan bagi mengubah keputusan ujian air kencing seorang lelaki.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said menolak rayuan Rijali Solah, 60, selepas memutuskan bahawa ia tidak mempunyai merit.

"Tiada alasan untuk campur tangan berkaitan dapatan mahkamah rendah yang mensabitkan perayu.

"Kami mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen," katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Ravinthran Paramaguru dan Datuk M. Gunalan.

Pada Disember 2017, Rijali, yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun dalam pasukan keselamatan itu, telah dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar.

Bagaimanapun, tertuduh dibenar menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pada 22 Okt 2019, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak rayuannya dan mengarahkan Rijali menjalani hukuman penjara.

Ketika ditemui pemberita, peguam G Ravi Shankar berkata anak guamnya telah membayar denda serta selesai menjalani hukuman penjara pada tahun lepas dan memfailkan rayuan itu dengan harapan akan dibayar tunggakan gaji, pencen selain wang denda dikembalikan.

Rijali, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Yan, didakwa menerima rasuah itu sebagai dorongan untuk mengubah keputusan ujian air kencing Mohd Hizzam Hussin, 38, di Restoran Kak Chaq Ikan Bakar, Kuala Muda, Kedah pada 12 Mei 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan.

Mengikut fakta kes, Rijali meminta rasuah daripada Mohd Hizzam sebagai balasan mengubah keputusan ujian air kencingnya daripada positif kepada negatif.

- Bernama

Lihat Komen
ADS