Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Melaka: Tanpa Bersatu, lebih banyak kerusi DUN untuk parti komponen PH

Pada PRU 2018, sejumlah 28 kerusi DUN di Melaka dibahagikan antara empat parti komponen PH pada masa itu, iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

PKR dan DAP bertanding di lapan kerusi, manakala Amanah dan Bersatu di enam kerusi. DAP merupakan pemenang terbesar apabila menang di semua kerusi yang ditandinginya, manakala PKR menang tiga kerusi. Bersatu dan Amanah pula masing-masing menang dua kerusi.

Namun dengan Bersatu kini merupakan seteru gabungan itu, enam kerusi yang ditandingi parti itu akan dibahagikan antara tiga parti pada PRN Melaka bulan depan.

Ia mungkin mencetuskan sedikit pertikaian, terutama apabila PKR dan Amanah telah menyuarakan hasrat untuk bertanding di empat daripada enam kerusi tersebut.

Enam kerusi DUN itu adalah Ayer Limau, Lendu, Asahan, Paya Rumput, Telok Mas dan Sungai Rambai.

N.03 Ayer Limau

Kerusi DUN Ayer Limau berada dalam kawasan parlimen Masjid Tanah. Ia memiliki 11,211 pengundi berdaftar (berdasarkan data PRU14).

Pada PRU lalu, Amirudin Yusof (BN) berjaya mempertahankan kerusi itu dengan mendapat 4,704 undi, mengalahkan calon Bersatu Ruslin Hasan yang meraih 3,225 undi.

Calon PAS Jamarudin Ahmad pula meraih 1,187 undi.

Amirudin mula menjadi Adun Ayer Limau sejak 2004. Sejak itu, dia telah menewaskan tiga calon PKR yang berbeza, termasuk Pengerusi PKR Melaka Halim Bachik pada PRU 2013.

N.04 Lendu

Kerusi DUN Lendu sebahagian daripada kawasan parlimen Masjid Tanah, dengan 10,350 pengundi berdaftar (berdasarkan data PRU14).

Pada PRU lalu, Sulaiman Md Ali (BN) mempertahankan kerusi itu selepas meraih 4,016 undi (majoriti 627 undi), mengalahkan calon Bersatu Ridhuan Affandi Abu Bakar (3,389) dan calon PAS Arshad Mohd Som (1,163).

Sulaiman, yang pertama kali menang di sini pada PRU 2013, kemudian menjadi ketua menteri Melaka sehinggalah hilang majoriti pada awal bulan ini.

Sulaiman Md Ali

N.10 Asahan

Kerusi DUN Asahan sebahagian daripada kawasan parlimen Alor Gajah, dengan 16,011 pengundi berdaftar (berdasarkan data PRU14).

Pada PRU lalu, Abdul Ghafar Atan (BN) mempertahankan kerusi itu selepas meraih 5,942 undi (majoriti 275 undi), mengalahkan calon Bersatu Zamzuri Arifin (5,667) dan calon PAS Azlan Maddin (1,365).

Dia pertama kali menang di situ pada PRU 2013, ketika itu dengan menewaskan calon PAS Wong Chee Chew.

Pada dua PRU sebelumnya, kerusi itu ditandingi calon MIC.

N.13 Paya Rumput

Kerusi DUN Paya Rumput terletak dalam kawasan parlimen Tangga Batu. Ia memiliki 25, 038 pengundi berdaftar (berdasarkan data PRU14).

Pada PRU 2018, Mohd Rafiq Naizamohideen daripada Bersatu menewaskan calon BN Abu Bakar Mohamad Diah. Rafiq mendapat 12,102 undi manakala Abu Bakar dengan 4,259 undi dan calon PAS Rafie Ahmad dengan 1,552 undi.

Ketiga-tiga calon kali pertama bertanding di situ pada masa itu.

Mohd Rafiq

N.23 Telok Mas

Kerusi DUN Telok MAS sebahagian daripada kawasan parlimen Kota Melaka, dengan 20,411 pengundi berdaftar (berdasarkan data PRU14).

Pada PRU lalu, calon Bersatu Noor Effandi Ahmad mencatat sejarah apabila menewaskan BN di kawasan tradisinya ini.

Effandi mendapat 7,694 undi untuk menewaskan calon BN Abdul Razak Abdul Rahman (6,406) dan calon PAS Rosazli Md Yasin (3,164).

Effandi telah dipecat daripada Bersatu selepas menjadi antara Adun yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri awal bulan ini.

Sebelum ini, kerusi itu dimenangi Latiff Tamby Chik (pada 2008 dan 2013) dan Amind Nordin (pada 2004). Kedua-duanya daripada BN.

Noor Effandi

N.28 Sungai Rambai

Kerusi DUN Rambai sebahagian daripada kawasan parlimen Jasin, dengan 11,792 pengundi berdaftar (berdasarkan data PRU14).

Pada PRU lalu, penyandangnya Hasan Rahman (BN) mempertahankan kemenangan dengan meraih 5,088 undi (majoriti 1,669 undi) untuk menewaskan calon Bersatu Azalina Abdul Rahman (3,419) dan calon PAS Zakariya Kasnin (1,405).

Hasan mula menjadi Adun Sungai Rambai pada 2008.

Lihat Komen
ADS