Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Pulau Batu Puteh: Dr M tak jawab persoalan sebenar

ULASAN | Tun Mahathir Mohamad tidak menjawab persoalan sebenar tentang Pulau Batu Puteh.

Persoalan sebenar ialah apakah sebab sebenarnya kerajaan PH tidak meneruskan semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh.

Benar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak boleh dirayu. Tetapi dengan timbulnya bukti terbaru, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017.

Pada 30 Jun 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 tentang Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. ICJ telah bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh untuk pendengaran semakan tersebut.

Apakah Mahathir lupa bahawa dua daripada bukti baru yang ditemui itu adalah dokumen yang hanya boleh diakses setelah tahun 2008. Secara undang-undang, dokumen tersebut hanya boleh diakses setelah tamat tempoh kerahsiaanya.

Dokumen pertama menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menggangap Pulau Batu Puteh sebahagian dari Singapura.


Isu Pulau Batu Puteh: Dr Mahathir jawab Sultan Johor

Kalau tak hormat janji jadi ‘negara paria’, kata Mahathir


Dokumen kedua menunjukkan bahawa Tentera Laut British memperakui bahawa perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor.

Dan dokumen terakhir menujukkan bahawa peta-peta operasi tentera laut British menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh.

Semua dokumen tersebut, dengan jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Puteh tidak berada dalam wilayah republik itu.

Sudah sewajarnya penemuan bukti material ini memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia.

Jadi kenapa di sebalik semua bukti baru ini, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan proses semakan tersebut.

Jika Mahathir telah dinasihati oleh sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa, siapakah mereka dan apakah nasihat yang mereka kemukakan dalam konteks bukti baru yang ditemui.

Apa yang jelas, kerajaan PH telah cuai dalam tindakanya mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia dan wajar dipertanggungjawabkan ke atas tindakan culas tersebut.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno dan bekas menteri besar Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS