Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sayap mahasiswa PKR terkilan dengan lantikan biro 'tanpa perbincangan'
Diterbitkan:  Oct 26, 2021 10:16 AM
Dikemaskini: 2:16 AM

Sayap Mahasiswa PKR kecewa setelah ketua pemuda parti itu melantik pemimpin untuk biro mahasiswa tanpa merujuk kepada mereka.

Dalam kenyataan semalam, Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa PKR Malaysia berkata bahawa mereka terkilan dengan tindakan oleh Akmal Nasir selaku ketua Pemuda PKR.

Ia berkata bahawa tindakan Akmal itu sebagai tidak kena pada tempat kerana mereka yang dilantik adalah bukan daripada kalangan mahasiswa sendiri dan mereka sudah tamat tempoh pengajian mereka.

"Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa ketua pemuda tidak menghargai usaha mahasiswa dan membuat lantikan tanpa perbincangan.

"Tindakan ini menunjukkan ketua AMK tidak mengambil berat akan mahasiswa dan hanya membuat pelantikan bagai melepaskan batuk di tangga. Pelantikan ini boleh digambarkan pelantikan yang sambil lewa dan hanya bagi memenuhi kekosongan jawatan biro tersebut kerana ia tidak melibatkan sebarang perbincangan bersama mahasiswa PKR yang aktif menjalankan pelbagai program.

"Sebagai ketua AMK, dia seharusnya menyelesaikan isu ini secara konsensus dan mencapai persefahaman serta mengelakkan ketegangan antara biro Mahasiswa dan Mahasiswa PKR Malaysia," katanya.

Ia mengulas demikian berhubung pengumuman Akmal semalam bahawa sayap pemuda PKR itu sedang menubuhkan semula biro mahasiswa dalam usaha memperkukuh parti, terutama dalam kalangan pelajar universiti.

Selaras dengan pengumuman itu, Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut mengumumkan bekas presiden Kesatuan Pelajar Universiti Malaya Muhammad Haziq Azfar Ishak sebagai ketua biro yang baru ditubuhkan semula. Haziq menyertai PKR pada 16 Sept.

Sementara itu, bekas ketua pelajar Tan Ray Ming, Irfan Mahzan, Aqilah Zainuzi, Chew Yi Suen, dan Shukrul Khair diumumkan sebagai ahli biro.

“Sebagai ketua Pemuda PKR, saya percaya kewujudan platform sebegitu adalah langkah penting ke arah memaksimumkan kekuatan sayap pemuda, dan akan meningkatkan sokongan terhadap PKR dalam kalangan pelajar,” katanya.

Lihat Komen
ADS