Ibu dakwa anaknya ditukar agama secara tidak sah
Suaminya berketurunan Cina telah meninggalkannya yang berketurunan India untuk berkahwin dengan seorang wanita Melayu.
Suaminya berketurunan Cina telah meninggalkannya yang berketurunan India untuk berkahwin dengan seorang wanita Melayu.
Kini, dia mendakwa tiga orang anaknya hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya itu, telah ditukar agama mereka kepada Islam secara tidak sah kerana ia dilakukan tanpa kebenarannya selaku ibu kandung mereka.
Bekas suaminya itu meninggal dunia awal Mac tahun ini dan anak-anaknya pula dijaga oleh ibu tiri mereka itu sejak berkahwin dengan bapa mereka.
Ibu keturunan India itu telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan semula hak jagaan anak-anaknya itu kerana bapa mereka telah meninggal dunia.
Dia berjaya mendapatkan perintah tersebut pada 5 September lalu di mahkamah, yang turut dihadiri oleh ibu tiri anak-anaknya itu.
Bagaimanapun, tiga hari selepas perintah itu dikeluarkan pada 8 September sebuah pusat kebajikan di Cheras mengambil tindakan perundangan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, mendakwa anak-anak tersebut perlukan perlindungan.
Oleh kerana bekas suami dan isterinya yang berketurunan Melayu itu sebelum ini tinggal di Kajang, maka kes tersebut didengar oleh mahkamah majistret Kajang, yang kemudiannya mengeluar perintah membenarkan ketiga-tiga kanak-kanak itu ditempatkan di pusat tersebut kerana disyaki didera.
Tidak jumpa anak-anak
Bagaimanapun, peguambela K Shanmuga yang mewakili isteri keturunan India itu dalam kes yang difailkanoleh pusat kebajikan itu, mendakwa ibu berkenaan tidak pernah bertemu dengan anak-anaknya sejak bapa mereka meninggal dunia.
"Walaupun dia (ibu keturunan India itu) mendapatkan hak penjagaan anak-anaknya daripada pihak mahkamah, tetapi dia tidak sempat berbuat demikian sebelum pusat berkenaan mengambil anak-anaknya," katanya ketika ditemui di luar mahkamah hari ini.
Oleh itu, katanya, adalah mustahil bagi ibu tersebut mendera anak-anaknya sedangkan dia tidakpun sempat pun bertemu dengan mereka.
Bagaimanapun, perbicaraan kes itu telah ditangguhkan kepada 30 November kerana majistret berkenaan Harmi Tharmi tidak dapat hadir hari ini.
Mahkamah sepatutnya membuat keputusan sama ada kanak-kanak tersebut didera secara fizikal seperti yang didakwa oleh pusat kebajikan berkenaan atau menyerahkan hak penjagaan kepada ibu mereka berketurunan India itu.
Kanak-kanak terebut kini berusia 9, 11 dan 15 tahun.
Ibu keturunan India itu berkahwin dengan suaminya itu mengikut upacara agama Hindu. Suaminya kemudian meninggalkannya untuk berkahwin dengan seorang wanita Melayu pada 2004 dan meninggal dunia dua tahun selepas itu. Berita asal

