Muktamar pemilihan tak halang fokus di Melaka - PAS
PAS tidak melihat muktamar tahunannya di Kuala Terengganu pada hujung bulan depan akan mengganggu fokus dalam pilihan raya negeri Melaka.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS pernah melalui situasi sama beberapa kali.
“Kita ada muktamar, masa itu juga ada pilihan raya, jadi mana-mana petugas yang terpaksa bertugas dulu, kita turun kempen fizikal,” katanya.
Katanya, dengan kempen atas talian sekarang, urusan berkempen menjadi lebih mudah.
“...walaupun kita di Terengganu, kita boleh menyampaikan ceramah malam tu di Terengganu dan dipancarkan ke Melaka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan PAS Selangor di Shah Alam, kelmarin.
Muktamar PAS ke-67 dijangka diadakan pada 6 dan 7 November di Kuala Terengganu secara hibrid, dengan kehadiran perwakilan terhad.
Muktamar sayap-sayapnya - Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda - pula dijangka diadakan pada akhir bulan ini.
Kempen di Melaka akan bermula pada 8 November, selepas penamaan calon, dan hari mengundi jatuh pada 20 November.
Muktamar kali ini mungkin menyaksikan pertandingan barisan kepimpinan tertinggi. Bagaimanapun, setakat ini masih belum jelas jawatan mana akan menjadi rebutan dan siapa yang akan bertanding.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata, sebarang pertandingan pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi PAS hanya dapat diketahui selepas 25 Oktober (semalam).
Setakat ini, jawatan ketua pemuda PAS sahaja akan menyaksikan pertukaran kepimpinan apabila
Khairil Nizam Khirudin, yang juga ketua pemuda Perikatan Nasional (PN), tidak mempertahankan jawatan.
PAS setakat ini akan bersama rakan sekutu PN - Bersatu dan Gerakan - dalam pilihan raya itu dan menggunakan lambang gabungan.
Parti itu bagaimanapun masih berharap persetujuan dicapai dengan BN bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

