Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hukuman penjara 14 tahun pada lelaki buat amang seksual kekal

Seorang pemandu lori hari ini gagal dalam rayuan akhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 14 tahun serta lima sebatan kerana melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia empat tahun di bawah jagaan isterinya.

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara menolak rayuan dikemukakan Sulaiman Aswari, 44, selaku perayu terhadap sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 3 April 2019.

Vazeer berkata selepas mempertimbangkan penghujahan kedua-dua pihak dan meneliti keterangan dalam rekod rayuan, mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuan Sulaiman.

“Setelah menimbang isu-isu yang ditimbulkan oleh peguam perayu, kami dapati bahawa kompetensi saksi pendakwaan ketiga (SP3 iaitu mangsa) telah dinilai oleh hakim Mahkamah Sesyen dan dia (hakim) telah membuat kesimpulan bahawa SP3 adalah seorang saksi yang kompeten bagi maksud Seksyen 17 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

“Kami dapati proses penilaian yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen terhadap kompetensi SP3 adalah menurut kehendak undang-undang dan tiada kesilapan,” katanya yang bersidang bersama-sama hakim Nordin Hassan dan See Mee Chun.

Vazeer berkata mahkamah juga mendapati laporan perubatan oleh dua pakar perubatan merupakan sokongan kepada keterangan SP3 dan tiada sebab untuk mengusik dapatan fakta serentak oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

“Oleh demikian, kami dapati tiada merit dalam rayuan perayu dan dengan itu rayuan perayu ditolak. Sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan dan hukuman bermula hari ini,” katanya.

Sulaiman telah disabitkan dengan pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 14 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang, antara pukul 10 pagi hingga 7 petang pada Februari hingga April 2018.

Lelaki itu membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu, namun rayuan ditolak dan keputusan Mahkamah Sesyen dikekalkan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berada di bawah jagaan pengasuh iaitu isteri kepada Sulaiman bermula 2016 hingga 8 Mac 2018 dan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung mangsa di Ipoh, Perak, mangsa memberitahu ibu bapanya bahawa perayu yang dipanggil ayah telah melakukan amang seksual terhadapnya.

Terdahulu, peguam Gabriel Susayan yang mewakili Sulaiman dalam hujahannya berkata hakim mahkamah bicara gagal memastikan keupayaan kanak-kanak itu untuk memahami dan memberi jawapan rasional seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 133A Akta Keterangan 1950.

“Oleh itu, kami dengan rendah hati menyatakan bahawa sebarang kegagalan untuk menjalankan siasatan atau pemeriksaan awal bukan sahaja menjadi keluarbiasaan tetapi juga menjejaskan bukti dan keseluruhan prosiding. Justeru, adalah menjadi tugas hakim Mahkamah Sesyen untuk menentukan tahap keupayaan SP3 sebelum prosiding perbicaraan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang pula berhujah bahawa semasa pemeriksaan semula, SP3 dengan jelas menyatakan bahawa perayu melakukan amang seksual terhadapnya.

“Ia juga disokong oleh keterangan dua pakar perubatan yang mengesahkan bahawa koyakan pada kemaluan mangsa adalah disebabkan objek tumpul seperti jari atau kemaluan lelaki,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS