Ketiadaan buku politik hambarkan perhimpunan
Sesuatu yang amat nyata dalam perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara kali ini ialah tiadanya buku-buku politik yang dijual kepada orang ramai.
Sesuatu yang amat nyata dalam perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara kali ini ialah tiadanya buku-buku politik yang dijual kepada orang ramai.
Berbanding ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad di mana begitu banyak buku politik yang dijual setiap kali perhimpunan agung Umno diadakan.
Ketiadaan buku-buku politik terbaru ini nampaknya telah mengurangkan kemeriahan perhimpunan kali ini.
Antara penulis yang terkena tempias larangan penjualan buku politik ini ialah penulis buku politik terkenal, Syed Husein Al Atas. Baliau yang ditemui di PWTC hari ini mendakwa seketeriat Umno melarang buku- buku politik dijual di premis PWTC tahun ini.
"Saya didiberi amaran oleh pegawai polis dan pekerja PWTC jangan menjual buku-buku politik. Ini tidak pernah berlaku di zaman Tun Dr Mahathir di mana kami bebas menjual buku sekalipun buku yang mengkritik beliau. Malah saya sendiri memberi buku tulisan saya kepada beliau setiap tahun perhimpunan agung Umno diadakan," katanya.
Syed Hussein berkata beliau telah menghasilkan 50 buku politik sejak menulis mulai tahun 1960.
Katanya, mengapa takut kepada buku politik sedangkan ia juga memberi pengetahuan kepada masyarakat terutama peminat politik di seluruh negara.
"Mengapa akhbar-akhbar perdana dibenarkan dijual di kawasan PWTC ini sedangkan buku-buku politik diharamkan," katanya lagi.
Penulis buku politik veteran itu berkata, menjual buku bukannya menjual dadah dan tidak perlu ditakui.
"Kerajaan kata ada kebebasan bersuara tetapi apa yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya. Saya dihalang dan diugut dari menjual buku politik," katanya lagi.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui perhimpunan kali ini mendakwa tindakan melarang penjualan buku-buku politik ini menjadikan perhimpunan kali ini hambar kerana mereka datang bukan sahaja untuk mengukuti perbahasan tetapi juga membeli buku-buku politik.
Masidi Abdul Rahman berkata, selalunya pada perhimpunan agung Umno banyak buku-buku yang "panas" dijual walaupun harganya agak mahal.
Katanya, "tahun ini buku-buku seperti itu tidak kelihatan langsung dan ia mengurangkan kemeriahan perhimpunan agung Umno tahun ini.'

