Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu dasar kabotaj: Siaran langsung debat Wee-Guan Eng malam esok

Menteri Kewangan Wee Ka Siong akan berdebat dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung isu dasar kabotaj negara.

Debat itu akan disiarkan secara langsung di televisyen serta beberapa platform dalam talian pada jam 9.30 malam esok.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang sebelum ini ditugaskan oleh Lim untuk mengaturkan debat itu.

"Ia dijangka berlangsung selama sejam. Hanya berkenaan isu dasar kabotaj," katanya kepada Malaysiakini.

Pejabat Wee dan Lim juga mengesahkan acara ini ketika dihubungi Malaysiakini.

Difahamkan kedua-duanya akan hadir di studio TV3 di Seri Pentas malam esok.

Debat juga akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Awani dan 8TV - di televisyen dan juga di YouTube dan Facebook.

Pada 30 September lalu, Wee dan Lim berbahas di Dewan Rakyat berhubung dasar kabotaj bagi kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel internet dasar laut.

Isu ini bermula apabila Lim tidak berpuas hati dengan jawapan Wee di Dewan Rakyat berhubung dasar kabotaj negara, membawa kepada Wee mencabar Lim untuk berdebat mengenainya pada 30 Sept lalu.

Cabaran itu dibuat selepas Lim bertanya kepada Wee apakah dasar kabotaj menyebabkan beberapa syarikat gergasi teknologi menjauhi Malaysia dalam projek pemasangan kabel bawah laut bagi meningkatkan sambungan internet.

Lim menyahut cabaran itu.

Syarikat-syarikat gergasi teknologi telah menulis surat kepada kerajaan beberapa kali untuk mengembalikan pengecualian kabotaj yang dibuat ketika pentadbiran PH bagi mempercepatkan proses pembaikan kabel internet.

Wee bagaimanapun berkata, dasar kabotaj akan membantu industri perkapalan tempatan untuk berkembang, manakala kehadiran syarikat gergasi teknologi akan menimbulkan kebimbangan monopoli.

Lihat Komen
ADS