DAP menganggap kenyataan seorang perwakilan Pemuda Umno yang bertanya bilakah Ketua Pergerakan itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menggunakan kerisnya, sebagai berunsur provokatif.

Pengerusi DAP, Karpal Singh yang juga Ahli Parlimen Gelugor berkata, beliau terperanjat kerana kenyataan seumpama itu boleh dibuat di perhimpunan agung Pemuda Umno minggu lalu.

Perwakilan Umno Perlis, Hashim Suboh dipetik dalam laporan akhbar New Straits Times semalam sebagai berkata, Hishammuddin telah menghunus kerisnya, mencium kerisnya, dan bertanya bilakah Ketua Pemuda itu akan menggunakan kerisnya.

Hashim juga menegaskan bahawa "kekerasan mesti digunakan terhadap mereka yang enggan mematuhi sosial kontrak" berhubung dakwaan kelemahan Hishammuddin menangani tuntutan mengenai sekolah Cina.

"Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Datuk Amiruldin Badruddin, sepatutnya segera meminta kenyataan yang provokatif seperti itu ditarik balik," kata Karpal, yang juga seorang peguam terkenal, dalam satu kenyataan hari ini.

Timbul kebimbangan

Beliau menuntut Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, supaya menyiasat dakwaan tersebut dan mengarahkan supaya kenyataan itu ditarik balik.

Menurutnya lagi, kenyataan Hashim itu juga harus mendapat perhatian Ketua Polis Negara dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menentukan bentuk tindakan yang boleh diambil.

"Kenyataan (Hashim) itu telah menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak senang di kalangan orang bukan Melayu di negara ini. Kenyataan itu berbaur hasutan kerana mereka mempunyai niat untuk menghasut," tegas Karpal.

Dua hari lalu, Karpal telah menegur tindakan Hishammuddin menghuluskan keris di perhimpunan agung Pemuda Umno tahun ini.

Di samping itu, katanya, kenyataan Hishammuddin berhubung bidangkuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah juga telah 'menghina mahkamah". Berita asal