Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu memberi jaminan bahawa pemegang saham syarikat pelaburan parti itu Maika Holdings akan mendapatkan balik wang mereka dalam tempoh tiga bulan.

"Pemegang saham yang melabur dalam Maika kerana saya, tidak akan tertipu. Saya tidak akan mengecewakan mereka," kata Samy Vellu dalam satu majlis di sebuah kuil di Johor semalam.

"Bagi mereka yang mahukan wang mereka balik, saya telah uruskan untuk memulangkannya kepada mereka dalam tempoh tiga bulan.

"Kepada semua pemegang saham dan pelabur ini, Samy Vellu menjadi jaminannya," katanya dalam laporan akhbar-akhbar berbahasa Tamil hari ini.

Bagaimanapun, pemegang saham yang dihubungi malaysiakini pagi ini tidak teruja dengan jaminan presiden MIC itu.

"Ini bukan sesuatu yang baru. Saya tidak akan mempercayainya sehinggalah saya mendapat balik wang saya," kata A Mutthiah yang melabur dalam Maika pada awal tahun 1980-an.

"Sepertimana ramai lagi yang lainnya, saya juga telah menggadaikan barang kemas isteri saya untuk mengumpulkan wang bagia melabur dalam Maika Holdings.

"Saya ingat, pada masa itupun, Samy Vellu telah memberi jaminan kepada kami bahawa pulangan (bagi pelaburan itu) adalah baik," kata pemilik sebuah kedai di Rawang itu.

Gagal capai matlamat?

Seorang lagi pemegang saham, M Alamai, yang kini berusia 60-an, telah putus asa untuk mendapatkan semula wang pelaburannya dalam Maika Holdings.

"Mereka tidak pernah membayar sebarang dividen sejak sekian lama. Sekarang dia kata dia akan menjadi jaminan kepada pemulangan wang kami. Saya tidak percaya lagi cakapnya," tambahnya.

Alagamai bekerja sebagai seorang penoreh getah di sebuah estet di Kuala Selangor apabila dia diyakinkan oleh pemimin MIC supaya melaburkan wang simpanannya dalam Maika Holdings.

"Pemimpin MIC memberitahu saya bahawa Presiden parti Samy Vellu memberi jaminan kami akan menjadi kaya. Saya masih menunggu untuk menjadi kaya," katanya.

Semalam, sewaktu merasmikan dewan pelbagaiguna sebuah kuil di Ulu Tiram, Johor, Samy memberitahu para hadirin bahawa beliau kini bersedia untuk berdepan dengan mereka yang didakwanya sengaja memainkan isu Maika.

Beliau juga menyelar ahli-ahli parti pembangkang kerana sengaja mereka-reka isu berkaitan dengan Maika Holdings.

"Biarlah mereka kata apa sahaja yang mereka mahu kata. Mereka boleh tulis apa sahaja yang mereka mahu tulis. Mereka boleh buat sebanyak mana aduan polis yang mereka mahu," kata Samy Vellu dalam laporan akhbar Malaysian Nanban hari ini.

"Saya tidak takut. Tidak ada apa-apa yang hendak saya sembunyikan. Saya tidak akan menipu sesiapapun. Semua pemegang saham akan mendapat balik wang mereka," kata Samy Vellu.

Menteri Kerja Raya itu juga berkata, Maika Holdings akan membentangkan akaunnya kepada semua pemegang saham pada masa yang sesuai.

Pengerusi Jawatankuasa DAP Untuk Selamat Maika, A Sivanesan memberitahu malaysiakini bahawa ia bukan soal Maika membayar balik wang pelaburnya dalam tempoh tiga bulan lagi.

"Saya yakin Samy Vellu boleh bayar balik wang pelabur. Perkara utamanya, apakah beliau akan mengakui bahawa Maiki telah gagal melaksanakan apa yang sepatut dilakukannya," katanya ketika dihubungi.

"Apakah Maiki telah meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat India? Apakah Samy Vellu akan mengakui bahawa Maika satu kegagalan dan bertanggungjawab terhadap semua kerugiannya?" katanya.

"Bagaimana pula dengan urusniaga yang meragukan oleh Maika, penjualan estet dan harta yang merugikan?" katanya.

Mesyuarat agung

Maika ditubuhkan pada 1982 untuk membolehkan masyarakat India Malaysia berkongsi pertumbuhan ekonomi negara.

Syarikat tersebut berjaya mengumpulkan RM106 juta pada 1984 daripada 66,000 pelabur tetapi sesetengah pemegang sahamnya menuduh syarikat tersebut telah mensia-siakan modal tersebut melalui saluran yang meragukan selepas pulangan yang mereka terima tidak seberapa.

Banyak pelaburan perniagaan Maika Holding gagal dilaksanakan. Ia hanya membayar dividen tunai kepada pemegang saham sebanyak tujuh kali, yang terakhirnya pada tahun 1995.

Mesyuarat agungnya tahun ini juga dipenuhi kontroversi apabila Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran dikasari seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) MIC kerana bertanya mengenai kedudukan kewangan syarikat pelaburan tersebut.

"Pemegang saham tidak kisah lagi dengan semua cakap Samy Vellu. Kita pernah mendengar kata-kata manis itu sebelum ini. Tidak seorangpun Samy dan penyandang jawatan dalam Maika Holdings menjawab soalan yang berkaitan dengannya," kata R Maniam, seorang ajen insurans. Bapanya telah membuat pelaburan yang besar dalam Maika pada tahun 1984.

"Mengapa mereka tidak tunjukkan akuannya sekarang? Mengapa mahu tunggu hingga masa yang sesuai? Mungkin mereka patut mengakui bahawa mereka telah kerugian semua wang itu dan pelabur tidak boleh mengharap apa-apa pun sekarang," katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin MIC memberitahu malaysiakini bahawa Samy yakin akan dapat memulangkan wang para pelabur.

"Kami telah melihat beberapa dokumen dan presiden yakin para pelabur akan mendapat balik wang mereka," tambahnya. Berita asal