Perhimpunan Umno alih perhatian dari isu pokok, kata Anwar
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perdebatan 'penuh emosi' di perhimpunan agung Umno minggu lalu, lebih kepada usaha untuk mengalih perhatian dari isu-isu pokok yang menjadi cabaran kepada negara hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perdebatan 'penuh emosi' di perhimpunan agung Umno minggu lalu, lebih kepada usaha untuk mengalih perhatian dari isu-isu pokok yang menjadi cabaran kepada negara hari ini.
"Memainkan sentimen perkauman sememangnya meningkatkan emosi di Perhimpunan Agung Umno, tetapi apakah hasilnya?
"Kehilangan dayasaing ekonomi, pengangguran yang terus meningkat, kadar
kemiskinan yang semakin serius isu-isu ini tidak selesai dengan terus memukul gendang perkauman," katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, seringkali kalangan yang paling kuat menjerit mempertahankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebenarnya juga mereka yang menggondol kekayaan dari DEB untuk keluarga dan kroni mereka.
"Sudah sampai ketikanya agar agenda ekonomi Malaysia menjurus kepada pertumbuhan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang adil.
Suruhanjaya bebas
"Sebarang isu yang melibatkan kaum dan agama juga harus ditangani secara berhikmah menerusi prinsip dialog oleh pemimpin yang tegas pada prinsip," tambahnya.
Kerajaan, kata beliau, sewajarnya melantik suatu suruhanjaya bebas dan berwibawa untuk menyiasat sebarang tokoh besar yang dituduh terlibat dengan rasuah.
"Seandainya kita jujur semua pemimpin dan bekas pemimpin negara perlu sedia disiasat secara adil oleh suruhanjaya bebas," tambahnya.
Perhimpunan agung Umno berlangsung dari 13 hingga 17 November lalu yang disiarkan secara langsung oleh Astro.

