Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar cadang media kerajaan beri ruang debat antara calon KM
Diterbitkan:  Nov 11, 2021 1:44 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

PRN MELAKA | Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim hari ini mencadangkan kerajaan membuka ruang kepada semua calon yang bertanding untuk berdebat secara terbuka.

Kata Anwar cadangan itu wajar diberi perhatian kerana ia boleh mengangkat imej Malaysia di mata dunia sebagai pengamal demokrasi yang matang.

Katanya hasrat kerajaan memberikan ruang berkempen secara sekata itu memang dialu-alukan apabila ia turut melibatkan calon PH.

"Lantaran itu, saya mencadangkan agar satu debat terbuka dianjurkan di antara calon ketua menteri dari PH, BN dan PN (Perikatan Nasional) yang bertanding di Melaka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata dia sedia menimbangkan cadangan untuk memberi ruang kepada calon PRN Melaka berkempen melalui stesen televisyen dan radio kerajaan.

Laporan Bernama menyatakan Annuar berpendapat ruang itu juga boleh diberikan kepada calon pembangkang.

Menurutnya ia difikirkan perlu kerana kerajaan memahami kekangan dialami parti politik dan calon untuk berkempen dengan pelbagai syarat ditetapkan pihak berkuasa.

Untuk rekod PRN Melaka dijalankan dengan prosedur operasi standard yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

PH dan BN sudah menamakan calon masing-masing untuk jawatan ketua menteri jika mereka berjaya mendapat sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan.

PH menamakan Adly Zahari sebagai calonnya manakala BN memilih Sulaiman Md Ali. Kedua-dua mereka pernah berkhidmat sebagai ketua menteri sebelum ini.

Lihat Komen
ADS