‘PAS ada undi teras, boleh menang kerusi di Melaka’
PRN MELAKA l Pesuruhjaya PAS Melaka Kamarudin Sidek yakin parti itu mampu untuk menyumbang sekurang-kurangnya satu kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini di bawah Perikatan Nasional (PN).
Katanya, keyakinan itu berdasarkan PAS sekarang sudah mempunyai undi teras.
"Walaupun PAS tak menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi waktu itu pertandingan tiga penjuru dan sebagainya.
“PAS (sekarang) sudah ada undi teras, jadi apabila berlaku gabungan dalam PN kita jangkakan calon-calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita letakkan akan bertambah undilah (sebab) undi teras dah ada,” katanya yang dipetik Bernama pada sidang akhbar di Melaka hari ini.

Kamarudin yang juga adalah calon PN yang bertanding di Duyong akan berdepan dengan calon Pakatan Harapan Damian Yeo daripada DAP dan Mohd Noor Helmy dari Umno yang mewakili BN.
Calon lain adalah Mohd Faizal dari Putra dan seorang lagi calon bebas Muhamad Hafiz Ishak
“Macam saya (bertanding) di DUN Duyong, saya dah ada 3,000 undi yang saya peroleh (pada PRU14).
“Dengan ada gabungan daripada Gerakan dan Bersatu saya yakin undi akan meningkatlah," katanya.
Pada 2018, calon DAP, Damian Yeo memenangi kerusi Duyong dengan kelebihan 2,895 undi. Dia memperolehi 7,642 dan mengalahkan calon BN (MCA) Lee Kiat Lee yang mendapat 4,747 undi dan Kamarudin yang mendapat 2,938 undi. Seorang lagi calon Bebas hilang wang pertaruhannya.

Pada PRN pada 20 November ini, PN akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, dengan 15 kerusi diwakili Bersatu, PAS (lapan) dan Gerakan (lima).
Lapan kerusi yang ditandingi PAS adalah Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.
SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.
Hadir sama pada sidang akhbar hari ini adalah Pengerusi Gerakan Melaka Michael Gan Peng Lam dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub.

