Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRN MELAKA | Bersatu Melaka menzahirkan keyakinannya untuk memenangi lebih banyak kerusi untuk parti itu berbanding pencapaian mereka pada PRU ke-14 lalu bersama Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, hal itu kerana Bersatu kini tidak lagi bersama-sama dengan DAP.

Calon Perikatan Nasional (PN) untuk kerusi Telok Mas itu berkata sebelum ini - semasa bekerjasama dengan DAP - Bersatu sukar mendapatkan sokongan padu daripada pengundi Melayu.

"Saya nak bagitahu bahawa sokongan orang Melayu Islam kepada PN atau Bersatu jauh lebih baik dalam keadaan kita tak bersama DAP," katanya kepada media semasa ditemui di Alai, Telok Mas hari ini.

Untuk rekod dalam PRU lalu Mohd Rafiq bertanding di kerusi DUN Paya Rumput dan berdepan cabaran daripada BN dan PAS. Dia kemudian memenangi kerusi majoriti Melayu itu dengan kelebihan 4,259 undi.

Pada 2018 ada seramai 25,038 pengundi berdaftar di DUN berkenaan dengan 62 peratus daripadanya adalah Melayu, manakala 31 peratus Cina, 7 peratus India dan sebelihnya bangsa lain.

Dalam PRN ini Mohd Rafiq dicalonkan ke Telok Mas untuk cuba merampas kerusi PH yang dulu dimenangi Noor Effandi Ahmad, yang juga dari Bersatu. Noor Effandi adalah seorang daripada empat Adun Melaka yang menarik kembali sokongan mereka kepada kerajaan BN-PN negeri itu pada 4 Okt lalu.

Ada dua parti Melayu Islam

Pada PRU lalu Noor Effandi memenangi kerusi Telok Mas dengan 1,288 undi mengatasi calon BN dan PAS.

Pada 2018 ada seramai 20,441 pengundi berdaftar di kawasan berkenaan dengan 74 peratus daripadanya Melayu manakala masing-masing 24 peratus dan 2 peratus pemilih Cina dan India.

Kata Mohd Rafiq dia juga yakin kerjasama Bersatu dengan PAS - dan Gerakan - kali ini akan membantu PN memenangi cukup kerusi bagi membentuk kerajaan negeri melalui majoriti mudah.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan bagi mencapai majoriti mudah sesebuah parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi.

Kata Mohd Rafiq PRN Melaka ini juga mencatat sejarah apabila ada tiga gabungan parti bersaing dengan dua daripadanya merupakan gabungan berteraskan Melayu Islam.

Justeru katanya rakyat Melaka yang tidak mahu mengundi BN mempunyai pilihan iaitu PN dan tidak perlu menyokong PH yang didakwanya didominasi DAP.

Gabungan pertama, menurut Mohd Rafiq, ialah BN yang di dalamnya ada sebuah parti Melayu iaitu Umno.

"Dan keduanya ialah PN yang ada dua parti Melayu dan Islam," katanya dipercayai merujuk kepada Bersatu dan PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS