Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sokongan yang diberikan kepada Prsiden parti bukan membuta tuli atau kerana terpaksa.

Katanya, beliau dan para perwakilan Umno menyokong kerana disebabkan keyakinan kepada agenda Presiden, misi negara, hala tuju serta 12 gagasan yang dibentangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya tidak percaya kepada sokongan membuta tuli sahaja. Saya tidak memberi sokongan kerana saya terpaksa memberi sokongan. Saya beri sokongan kerana saya percaya kepada agenda Presiden," katanya.

Najib berkata dengan sokongan itu, semua yang terbabit boleh menggembeleng tenaga untuk mencapai wawasan dan tindakan yang kedua-duanya penting untuk mencapai matlamat negara.

Menurut laporan Bernama, beliau berucap pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di Seremban malam tadi.

Beliau berkata perkara-perkara yang disebutkannya itu boleh dijadikan bekalan kepada perwakilan untuk memberitahu pemimpin di peringkat akar umbi apabila pulang ke kawasan masing-masing.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri juga meminta pemimpin komponen Barisan Nasional tidak beri reaksi keterlaluan kepada satu dua ucapan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno lepas kerana dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan bukannya berdasarkan ucapan berkenaan.

Najib berkata ucapan yang disampaikan perwakilan yang agak terlanjur bukannya dasar parti kerana Umno dari dulu hingga sekarang percaya kepada prinsip berkongsi kuasa, bertolak ansur dan bertimbang rasa.

Manifestasi sokongan

"Kita adalah parti yang amat bertimbang rasa dan percaya pada permuafakatan kaum. Presiden (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) juga memberi peringatan bahawa Umno adalah parti yang mewakili semua kaum," katanya.

Najib menambah, perhimpunan agung Umno yang lepas adalah satu manifestasi yang menunjukkan bahawa sokongan kuat kepada parti dan kerajaan yang menepis segala kesangsian yang boleh menggambarkan sebaliknya sebelum perhimpunan itu berjalan.

"Mungkin ada yang berasa sangsi kot-kot ada apa-apa yang boleh berbangkit dalam perhimpunan agung yang boleh menggambarkan sokongan yang tidak padu kepada presiden. Maka segala sangsi itu telah hilang apabila setiap jurucakap (perwakilan) dan anggota majlis tertingi dan diri saya sendiri yang beri sokongan sepenuhnya kepada Datuk Seri Presiden," katanya.

Najib juga mengingatkan pemimpin dalam kerajaan atau Umno perlu melihat ke bawah dalam membuat keputusan dan dasar kerana akar umbi adalah tunjang kekuatan parti.

Terdahulu, Najib berkata Umno adalah parti yang amat bertimbang rasa dan menghormati aspirasi kaum Cina dan Tamil yang mahu sekolah jenis kebangsaan dikekalkan.

" Kita adalah parti yang amat bertimbang rasa dan percaya kepada permuafakatan kaum," katanya.

Najib juga berkata pada masa yang sama Umno tidak mahu ada pihak yang menafikan apa yang sepatutnya menjadi hak kepada orang Melayu dan sebab itulah parti berkenaan melaungkan agenda Melayu tetapi dalam konteks permuafakatan kaum.