Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedah bentang Bajet 2022 berjumlah RM1.35 bilion

Kerajaan Kedah hari ini membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ berjumlah RM1.35 bilion, melibatkan peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika membentangkan bajet itu berkata bajet berkenaan mengambil kira hasil, perbelanjaan mengurus dan kumpulan pembangunan defisit tahun hadapan, yang dianggarkan 12.44 peratus atau RM90.22 juta.

Beliau mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus berjumlah RM815.22 juta bagi Bajet 2022, dengan RM103.04 juta daripada jumlah itu diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

“Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan adalah seperti berikut iaitu Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM84.42 juta dan Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM730.79 juta,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata anggaran perbelanjaan itu meningkat sebanyak RM16.34 juta atau peningkatan 2.04 peratus berbanding tahun ini, yang mana kenaikan itu bagi merealisasikan teras bajet serta perancangan yang telah dibuat.

Beliau berkata anggaran perbelanjaan pembangunan 2022 pula, dicadangkan peruntukan bagi Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM218.31 juta iaitu peningkatan ketara sebanyak RM17.41 juta bagi memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh negeri.

“...dan memastikan perancangan projek yang tidak dapat diselesaikan akibat COVID-19 di disempurnakan. Peningkatan perbelanjaan Kumpulan Wang Pembangunan adalah sebanyak 8.66 peratus berbanding tahun 2021,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan peruntukan bagi anggaran perbelanjaan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan 2022 yang berjumlah RM8.96 juta, iaitu peningkatan 10.6 peratus berbanding tahun ini sebagai sebahagian usaha memulih dan memelihara sumber biodiversiti.

“Untuk anggaran perbelanjaan Kumpulan Wang Bekalan Air 2022 pula, saya mohon mencadangkan peruntukan sejumlah RM308.14 juta dimasukkan sebagai peruntukan di bawah Kumpulan Wang Perbelanjaan Bekalan Air.

“Daripada jumlah itu, sejumlah RM173.12 juta adalah dalam bentuk Geran Peruntukan Persekutuan berganti balik dan RM135.02 juta daripada Kumpulan Wang Pinjaman,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata peruntukan itu disediakan bagi meneruskan usaha kerajaan menyediakan bekalan air terawat yang berkualiti, bersih dan mencukupi bagi memenuhi keperluan permintaan air yang meningkat.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi anggaran hasil 2022 pula, kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM725 juta, dan daripada jumlah itu hasil cukai merupakan penyumbang terbesar dengan hasil RM335.91 juta atau 46.33 peratus.

“Diikuti Hasil Bukan Cukai berjumlah RM224.56 juta atau 30.97 peratus, manakala RM164.53 juta atau 22.69 peratus adalah daripada Terimaan Bukan Hasil,” katanya.

Katanya jumlah terimaan hasil sehingga 11 Nov lepas adalah sebanyak RM631.68 juta iaitu 87.73 peratus daripada anggaran hasil tahun ini sebanyak RM720 juta.

Muhammad Sanusi berkata prestasi terimaan hasil tahun ini adalah lebih baik berbanding prestasi tahun sebelumnya yang berjumlah RM560.66 juta, dengan pertambahan RM71.02 juta.

Sementara itu, beliau berkata Bajet 2022 itu dirangka berdasarkan tiga teras utama iaitu Pemangkin dan Pemulihan Aktiviti Ekonomi; Peningkatan Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Rakyat; serta Pendigitalan Perkhidmatan dan Kecekapan Tadbir Urus.

“Rakyat terkesan dengan pandemik COVID-19 yang telah berlaku hampir dua tahun. Kesan kedukaan dari segi emosi dan fizikal perlu dilihat secara mendalam dan bantuan dalam mengubat kedukaan ini perlu seimbang. Kerajaan negeri peka dan telah merancang perbelanjaan dalam Bajet 2022 ini bagi membantu memulihkan dan mensejahterakan rakyat negeri Kedah,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS