Bicara kes sembur mata Dr M pada 11 Mac depan
Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini menetapkan 11 hingga 15 Mac depan untuk perbicaraan kes seorang ahli perniagaan yang dituduh menyebabkan kecederaan terhadap empat orang termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed pada 28 Julai lalu.
Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini menetapkan 11 hingga 15 Mac depan untuk perbicaraan kes seorang ahli perniagaan yang dituduh menyebabkan kecederaan terhadap empat orang termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed pada 28 Julai lalu.
Ketika sebutan semula kes itu, majistret Azman Mustapha juga menolak permohonan ahli perniagaan itu Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, 53 (foto bawah) untuk menetapkan satu tarikh sebutan semula kerana beliau telah menghantar satu representasi kepada pejabat Peguam Negara memohon pertuduhan ke atasnya tidak diteruskan.
Menurut peguam belanya, Zainal Abidin Mustaffa, anak guamnya menghantar permohonan itu pada 9 Oktober lepas dan menerima surat jawapan pada 16 Oktober lalu memaklumkan permohonan tersebut masih lagi dalam pertimbangan dan belum diputuskan.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab yang memberitahu mahkamah beliau telah menerima panggilan daripada pejabat Peguam Negara memaklumkan representasi yang dibuat Nik Sapeia telah ditolak dan surat mengenainya akan dihantar kemudian.
Menurut laporan Bernama, Azman juga menolak satu lagi permohonan tertuduh yang mahu mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi memberi peluang pihaknya memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi kerana ia kes berprofil tinggi.
Nik Sapeia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap empat orang termasuk Dr Mahathir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa pada kira-kira pukul 11 pagi dengan menyembur bahan berbahaya kepada tubuh badan apabila dihidu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Mengikut pertuduhan yang dibuat terhadapnya pada 9 Ogos lepas, tiga lagi yang menjadi mangsa ialah bekas anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, Mohd Nasir Muda dan Suberi Sahidan.
Nik Sapeia yang mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM8,500.
Beliau yang tiba di mahkamah menaiki limosin pada kira-kira pukul 9.20 pagi turut ditemani anggota keluarga termasuk isteri dan juga beberapa pengawal peribadi.

