PARLIMEN l Dewan Rakyat dijangka mengundi mengenai Belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada peringkat pertama hari ini yang sekali gus menguji perjanjian persefahaman (MOU) antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH).

Semasa dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos lalu, Ismail Sabri menerima sokongan 114 ahli Parlimen. Sokongan itu ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah menerima menghadap semua ahli parlimen berkenaan.

Seri Paduka sebelum ini secara terbuka menitahkan agar undi percaya diadakan terhadap perdana menteri baru di Parlimen tetapi ini tidak pernah dilakukan.

Pada 13 September lalu, Ismail Sabri mencapai persetujuan dengan PH dan memeterai MOU tentang transformasi dan kestabilan politik.

Sejak itu setiap perundangan yang diluluskan di Dewan Rakyat adalah melalui "undi suara" dan undian hanya dilakukan dengan menyebut "setuju".

Ahli Parlimen mempunyai pilihan, walaupun jarang digunakan, untuk menggunakan "undi belah bahagian" (block vote) dengan undi akan dikira di kalangan semua wakil rakyat Parlimen yang hadir dan direkodkan dalam Hansard.

Tahun lalu, terdapat perpecahan di kalangan ahli parlimen pembangkang dalam memohon pengundian Bajet 2021 di peringkat dasar dijalankan melalui undi belah bahagian. Hanya 13 yang menyokong, kekurangan dua lagi undi untuk mencetuskan undian tersebut.

Bagaimanapun, beberapa undian belah bahagian diminta apabila Bajet 2021 dibentangkan pada peringkat kementerian, namun ahli parlimen mengundi menyokongnya setiap kali ia dilakukan.

Ketika ini, Ismail Sabri mengetuai kerajaan yang terdiri daripada parti-parti yang berbalah dan mencabar satu sama lain pada pilihan raya negeri Melaka.

Ismail Sabri adalah ahli gabungan BN dan merupakan naib presiden Umno. Antara lawan utama BN di Melaka ialah Perikatan Nasional yang mempunyai 50 ahli parlimen di bangku kerajaan.

"Menyokong bajet persekutuan akan menghantar isyarat campuran kepada penyokong PN di Melaka," kata seorang pelobi veteran yang enggan namanya didedahkan kepada Malaysiakini.

Setakat ini, BN dan PN masing-masing menjauhkan diri daripada menyerang antara satu sama lain semasa kempen di Melaka dan mensasarkan serangan mereka terhadap PH.

[Baca berita penuh]