PRN MELAKA | Bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron menafikan dakwaan bahawa dia menyogok tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Idris menyifatkan mesej yang tular melalui telefon bimbit itu sebagai fitnah dan penipuan.

"Ini adalah satu perkara yang saya kira fitnah oleh orang yang tidak puas hati dengan tindakan kami.

"(Ia dibuat oleh)...orang yang sentiasa menyokong kemungkaran dan kerosakan yang berlaku di negeri Melaka ini," katanya.

Terdahulu, satu mesej menerusi nombor 66888 tular di sekitar Melaka yang mendakwa Idris menyogok tiga pemimpin PH.

Mesej itu berbunyi: "Idris Haron lompat parti dan sogok tiga pemimpin tertinggi PH untuk dipilih menjadi calon. Jom tolak Idris Haron, selamatkan negeri Melaka."

Dalam pada itu Idris berkata dia dan bekas Adun Pantai Kundor, Nor Azman Hassan tidak melompat parti, sebaliknya dipecat daripada Umno setelah diterima oleh pembangkang.

"Saya dan Datuk Azman (Nor Azman Hassan) tidak melompat, kami sebenarnya menarik sokongan. Dan kami dipecat kerana kami diterima oleh pembangkang," katanya.

Idris sebelum ini menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri bersama Nor Azman Hassan, Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Pada PRN Melaka kali ini, Idris tidak mempertahankan kerusinya di Sungai Udang, sebaliknya bertanding di Asahan di bawah tiket PH (PKR).

Manakala Nor Azman Hassan pula mempertahankan kerusinya di Pantai Kundor tetapi di bawah tiket PH (Amanah). Sementara itu Norhizam bertanding atas tiket Bebas dan Noor Effandi tidak bertanding sebarang kerusi.

Idris yang berdepan pertandingan enam penjuru di Asahan akan menentang pencabarnya iaitu Dhanesh Basil dari PN, Fairul Nizam Roslan (BN), Azhar Abd Hamid (bebas), Mohd Nor Salleh (bebas) dan Akhir Ayob (bebas).