Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib mohon tangguh keputusan rayuan kes SRC
Diterbitkan:  Nov 24, 2021 8:32 AM
Dikemaskini: 12:32 AM

Pasukan peguam Najib Razak yang diketuai peguam Shafee Abdullah memohon penangguhan keputusan Mahkamah Rayuan, yang pada mulanya ditetapkan pada 8 Dis, berhubung sabitan dan hukuman atas tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Permohonan penangguhan ke tarikh selepas 13 Dis itu dibuat kerana bekas perdana menteri itu perlu menjalani kuarantin di rumah sekembalinya dari Singapura.

"Pihak Perayu dengan rendah diri ingin memohon untuk tarikh 8 Dis 2021 tersebut dilapangkan dan tarikh keputusan ditetapkan pada minggu seterusnya iaitu minggu 13 Dis 2021 hingga 17 Fis 2021 (atau mana-mana tarikh lain yang dianggap sesuai oleh Mahkamah yang Mulia ini). 

"Alasan kepada perkara ini ialah, perayu akan berada di Singapura sehingga 5 Fis 2021 dan sejurus pulang dari Singapura, perayu diwajibkan untuk kuarantin kendiri selama tujuh hari," kata peguam Najib dalam surat bertarikh 23 Nov yang diserahkan kepada pendaftar Mahkamah Rayuan.

Najib diberikan kebenaran awal untuk mendapatkan sementara pasportnya dari 20 Okt hingga 22 Nov supaya dia boleh berada di Singapura untuk bersama anak perempuannya, Nooryana Najwa.

Dia kemudiannya memohon ia dilanjutkan kerana perlu membantu kempen pilihan raya BN di Melaka.

Peguam berkata Najib hanya boleh hadir di mahkamah bermula 13 Dis selepas tamat tempoh kuarantin kendiri.

Katanya lagi, pihak pendakwaan juga telah dimaklumkan mengenai permintaan itu dan tiada sebarang bantahan.

Selain itu, peguam juga mengemukakan beberapa kes lain melibatkan pihak yang terlibat dalam rayuan berkenaan, untuk didengar antara 8 Dis dan 23 Dis.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 23 Nov pada mulanya menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan Najib.

Perbicaraan rayuan di hadapan panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil itu berlangsung selama 15 hari dan selesai pada 18 Mei lalu.

Dua lagi hakim ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Lihat Komen
ADS