Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan Najib untuk tangguh keputusan rayuan SRC

Mahkamah Rayuan mengekalkan 8 Disember untuk keputusan dalam kes rayuan Najib Razak untuk membatalkan sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International membabitkan RM42 juta.

Dalam surat kepada peguam bekas perdana menteri dari Shafee & Co, Mahkamah Rayuan memaklumkan bahawa permohonan mereka untuk menangguhkan tarikh penghakiman adalah tidak dibenarkan.

“Dimaklumkan bahawa permohonan pihak perayu (Najib) untuk penangguhan tarikh keputusan adalah tidak dibenarkan.

"Sehubungan itu, sila pastikan kesemua pihak hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada tarikh yang ditetapkan,” menurut surat berkenaan yang difailkan dalam sistem e-filing badan kehakiman itu.

Ketika dihubungi hari ini, timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul turut mengesahkan bahawa Mahkamah Rayuan telak menolak permohonan penangguhan itu.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee turut mengesahkan pihak pembelaan baru menerima surat itu hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk keputusan rayuan Najib untuk membatalkan keputusan bersalahnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun Najib memohon kepada Mahkamah Rayuan supaya melapangkan tarikh 8 Disember yang ditetapkan itu.

Dia memohon tarikh tarikh baru antara 13 hingga 17 Disember, dengan alasan bahawa masih berada dalam kuarantin rumah sekembalinya dari perjalanan ke Singapura.

Bekas perdana menteri itu diberikan kebenaran awal untuk mendapatkan sementara pasportnya dari 20 Oktober hingga 22 November supaya dia boleh berada di Singapura untuk bersama anak perempuannya, Nooryana Najwa.

Dia kemudiannya memohon ia dilanjutkan kerana perlu membantu kempen pilihan raya BN di Melaka.

Peguam berkata Najib hanya boleh hadir di mahkamah bermula 13 Disember selepas tamat tempoh kuarantin kendiri.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS