Bank ketiga terbesar di Australia, ANZ Banking Group Ltd bakal menjadi pemegang saham utama dalam Kumpulan AmBank Malaysia dalam urusniaga yang bernilai sekurang-kurangnya AS$296 juta.

Pengarah Eksekutif AmMerchant Bank, Pushpa Rajadurai, menyambut baik langkah tersebut yang merupakan pelaburan pertama ANZ di Malaysia sebagai satu sejarah bagi kedua-dua negara.

"Ini merupakan pelaburan pertama Australia dalam sektor pembankan di Malaysia," kata Rajadurai yang turut terbabit dalam rundingan tersebut, kepada AFP.

"Pelaburan ANZ adalah dua kali ganda saiz pelaburan Malaysia di Australia, jadi mereka melihatnya sebagai satu perkongsiaan yang kukuh," tambahnya.

Melalui urusniaga tersebut, yang dipersetuju selepas dua sesi rundingan sejak dua tahun lalu, ANZ akan membeli sehingga 300 juta saham Kumpulan AmBank dari pemegang utamanya, AmcorpGroup Bhd.

Tiada harga yang ditetapkan untuk urusniaga ini. Ia dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi, kata pegawai AmBank.

Manakala dalam urusan jangka panjangnya pula, ANZ akan membeli gabungan bon dan saham yang boleh ditukar bernilai RM1.075 bilion (AS$296 juta), yang merupakan 13.5 pegangan dalam Kumpulan AmBank.

Pemegang saham utama

Kedua-dua urusniaga tersebut bakal menyaksikan bank Australia itu memiliki pegangan sehingga 25 peratus, menjadikannya satu pemegang saham terbesar dalam Kumpulan AmBank Group.

Kumpulan AmBank merupakan bank kelima daripada 10 buah bank terbesar di Malaysia, dengan aset bernilai lebih RM70 billion.

"Jika mereka membuat pelaburan besar dalam syarikat ini, sudah tentu mereka mahu meletakkan wakil dalam lembaga pengarah," kata Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Cheah Tek Kuang, kepada pemberita ketika ditanya mengenai penguasaan pegangan selepas urusniaga tersebut.

Bagaimanapun, para pengawa AmBank menegaskan, urusniaga itu bukan satu proses pengambilalihan oleh ANZ, yang turut mempunyai kepentingan di negara lain seperti China, Filipina dan Indonesia.

"Ini tidak dilihat sebagai satu pengambilalihan atau penguasaan oleh bank asing ke atas bank Malaysia," kata Rajadurai, sambil menambah, pemegang saham terbesar syarikat itu masih Kumpulan Amcorp dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Niat ANZ dalam semua perbincangan kita adalah jelas iaitu mereka mahu memanfaatkan peluang di Malaysia," tambahnya.

Semua urusniaga tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan Bank Negara, yang telah menetapkan pemilikan ekuiti dalam bank pada 20 peratus bagi syarikat," kata pegawai AmBank.

"Mereka mahu lebih daripada 20 peratus tetapi ia tertakluk (kepada kelulusan)," kata Rajadurai.

Semua rundingan dan perjanjian akan dimuktamad dan dikemuka kepada Bank Negara pada hujung bulan Januari dan dijangka dimeteraikan pada bulan Februari, kata pegawai AmBank.

Urusniaga saham AMMB Holdings syarikat induk AmBank digantung Jumaat lalu (17 November) pada harga RM2.99 dan dijangka diurusniaga semula Isnin depan.

- AFP