Paling Popular
Terkini

Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Adun Segama Mohamaddin Ketapi semalam secara rasmi menjadi ahli baru Bersatu.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata permohonan keahlian Mohamaddin diperakui dan diterima dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi yang dipengerusikan presidennya Muhyiddin Yassin.

"Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor malah ia juga akan memberikan manfaat besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang Mohamaddin wakili," kata Hamzah menerusi kenyataan malam tadi.

Pada 30 Okt lalu Mohamaddin mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah kerana ingin memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama.

Menurut Hamzah lagi, dalam mesyuarat itu Bersatu memutuskan akan mengadakan persidangan agung tahunan Kelima pada 18 dan 19 Dis ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya Putrajaya yang bakal dihadiri 1,600 perwakilan seluruh negara secara fizikal.

"Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan Mesyuarat Agung Bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 hingga 28 Nov ini," katanya.

Mengenai perkembangan di Sarawak, Hamzah berkata Bersatu akan mengadakan perbincangan lanjut bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) berkenaan pada 18 Dis ini.

Berhubung PRN Melaka yang diadakan 20 Nov lepas, Hamzah berkata Bersatu beranggapan keputusan membuktikan PN adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan kukuh dalam kalangan pengundi negeri itu.

"Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen PN yang lain iaitu PAS dan Gerakan.

"Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN dan parti komponennya. Susulan itu, Bersatu telah mengenal pasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS