Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tommy Thomas mendakwa saman yang difailkan Najib Razak berhubung apa yang didakwa bekas perdana menteri itu sebagai pendakwaan salah terhadapnya adalah bermotif politik menjelang PRN Melaka baru-baru ini serta PRU15.

Dalam afidavit sokongan bagi permohonannya untuk membatalkan saman itu, Thomas yang merupakan bekas peguam negara berkata saman itu tidak berasas dan tidak dapat dipertahankan memandangkan dia mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan pendakwaan jenayah.

Thomas mendakwa ini kerana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada peguam negara bagi budi bicara untuk melakukan perkara tersebut, kecuali bagi prosiding di mahkamah syariah.

Dia berkata, dalam menjalankan budi bicara itu, peguam negara (dan juga timbalan pendakwa raya) sentiasa mengambil kira pertimbangan selain daripada merit kes, antaranya kepentingan awam serta jika cadangan pendakwaan berdasarkan undang-undang yang sudah lapuk.

"Saya percaya dakwaan plaintif (Najib) difailkan atas sebab politik dan untuk digunakan dalam kempen PRN Melaka dan PRU akan datang yang perlu dibuat sebelum pertengahan 2023.

"Ini ditunjukkan oleh hakikat yang dakwaan ini hanya dibangkitkan Najib untuk kali pertama dalam dakwaan ini walaupun dia telah didakwa: dalam kes 1MDB (rasuah RM2.28 bilion) pada September 2018; dalam kes IPIC pada Oktober 2018; dalam kes laporan audit 1MDB pada Disember 2018; dan kes pengubahan wang haram (SRC International) pada Februari 2019.

"Ia juga tidak dibangkitkan oleh Najib sebagai pembelaan dalam kes (RM42 juta) SRC (seingat saya), yang selesai pada 28 Julai 2020 di mana Najib disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi," dakwa Thomas, sambil menyebut yang kes jenayah lain masih dalam perbicaraan.

"Dakwaan plaintif dalam saman ini tidak pernah dibuat sebelum ini (unprecedented) dan tanpa asas perundangan. Ia tidak dapat dipertahankan di bawah undang-undang.

"Jika dibenarkan, ia akan membawa kepada kebanjiran kes sivil terhadap kerajaan, peguam negara (dan timbalan pendakwa raya) dan semua kakitangan kerajaan yang terlibat dalam sistem perundangan. Ia bertentangan dengan kepentingan negara.

"...Kegiatan jenyah juga akan sukar dikawal jika timbalan pendakwa raya menjadi takut untuk membuat pendakwaan kerana risiko herdepan dengan saman sivil," katanya.

Pada 19 November lalu, Thomas dan kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib atas dasar ia suatu serangan sampingan bagi menghalang prosiding kes jenayah terhadapnya.

Ia selepas pasukan peguam Najib memfailkan saman terhadap Thomas dan kerajaan atas "pendakwaan salah" terhadapnya dalam beberapa kes jenayah.

Najib mendakwa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dengan niat jahat dan kecuaian.

Menurut Bernama, afidavit sokongan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menyebut bahawa menurut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan subseksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah, peguam negara sebagai pendakwa raya mempunyai kuasa yang boleh dilaksanakan menurut budi untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi satu kesalahan jenayah.

Sementara itu, menurut afidavit Thomas bertarikh 24 November yang dilihat Malaysiakini, dia menjelaskan budi bicara pendakwa raya telah berkembang selama berabad di England dan diguna pakai di seluruh Komanwel.

Justeru, katanya lagi, ia telah wujud di Malaysia semenjak sebelum Merdeka, dan Perlembagaan Persekutuan memasukkan kuasa budi bicara tersebut selepas Merdeka.

Menurut Thomas lagi, dia berpuas hati bahawa ada kes yang kuat terhadap Najib ketika meneliti kertas siasatan melibatkan kes jenayah bekas perdana menteri itu.

"Saya meneliti kertas siasatan itu setakat kemampuan saya, berbincang dengan pegawai berkaitan di pejabat peguam negara dan kemudian secara jujur memutuskan untuk mendakwa Najib.

Maka, dakwaan dalam perenggan 17 hingga 19 dalam pernyataan tuntutuan (saman Najib) yang saya memutuskan untuk mendakwanya walaupun SPRM tidak menemui salah laku, adalah disangkal.

"Saya atau mana-mana pegawai pejabat peguma negara masuk campur dalam siasatan SPRM terhadap Najib yang membawa kepada lima pendakwaan. Siasatan dijalankan secara bebas oleh SPRM," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS