Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Percaya sokongan kukuh, Bersatu mahu runding dengan GPS untuk PRN S’wak
Diterbitkan:  Nov 26, 2021 12:02 PM
Dikemaskini: 4:06 AM

Pilihan raya Melaka pada Sabtu lepas membuktikan Perikatan Nasional (PN) adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan kukuh, kata Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin.

“Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen Perikatan Nasional yang lain iaitu PAS dan Gerakan.

“Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap Perikatan Nasional dan parti-parti komponennya,” katanya.

Dalam pilihan raya Melaka pada 21 Bovember lepas, Perikatan Nasional (PN) hanya menang di dua daripada 28 kerusi dipertandingkan. Kedua-duanya disumbangkan oleh Bersatu.

BN menang besar dengan 21 kerusi manakala PH merosot kepada lima kerusi.

Sementara itu, dalam kenyataan, Hamzah berkata Bersatu telah mengenal pasti kelemahan semasa pilihan raya negeri Melaka dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera.

Mahu runding dengan GPS di Sarawak

Sementara itu, Bersatu juga mengumumkan mahu berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi berdepan pilihan raya Sarawak bulan depan.

Hamzah berkata, perbincangan itu akan dibuat bagi menentukan strategi dan persiapan dalam pilihan raya Sarawak, sekali gus untuk menghadapi pilihan raya umum.

Pilihan raya negeri Sarawak akan berlangsung pada 18 Disember. Hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Disember.

Sementara itu, Bersatu juga mengumumkan akan mengadakan persidangan agung tahunan kelima di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 dan 19 Disember secara fizikal.

Katanya, ia akan dihadiri oleh 1,600 perwakilan daripada seluruh negara.

“Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan mesyuarat agung bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 November sehingga 28 November 2021,” katanya.

Lihat Komen
ADS