Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno tak halang jika PAS mahu kekal dalam PN'
Diterbitkan:  Nov 26, 2021 6:20 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Umno tidak akan halang jika PAS ingin teruskan kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata, terpulang kepada PAS untuk bekerjasama atau tidak bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mereka suka.

"Kita tidak boleh paksa mereka untuk bekerjasama dengan kita sebagaimana mereka juga tidak boleh paksa kita untuk bekerjasama dengan sesiapa. Tiada paksaan dalam Islam.

"Jika PAS ingin teruskan kerjasama mereka dengan Bersatu dalam PN untuk PRU-15, itu keputusan mereka dan kita tidak akan halang.

"Apa-apa pun, kita tidak boleh terima jika ada apa-apa syarat kerjasama yang memaksa kita untuk menyerahkan kerusi-kerusi lompat kepada Bersatu," katanya dalam posting Facebook hari ini.

Muafakat Nasional (MN) merupakan gagasan persefahaman tidak rasmi antara Umno dan PAS yang kini mula goyah setelah PAS dilihat lebih mesra dengan Bersatu dalam PN.

Pada PRN Melaka, PAS mengambil keputusan bersama Bersatu, menentang Umno di tujuh kerusi dan kalah kesemuanya.

Menurut Isham, akar umbi dan kepimpinan Umno telah membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu yang disifatkan sebagai parti "pengkhianat, katak dan pelompat".

"Sebab jika kita terima dan bekerjasama dengan mereka, rakyat akan hukum kita pula dalam PRU-15 sebagaimana rakyat telah menghukum pelompat-pelompat parti di PRN Melaka baru-baru ini," katanya.

Tambahnya, sekiranya BN terpaksa bergerak sendirian, maka gabungan itu terima hakikat itu dan akan teruskan kecekalan dan usaha untuk mencapai kejayaan di atas kaki dan kekuatan sendiri.

Lihat Komen
ADS