Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kenapa PAS letak calon di Sarawak meski selalu hilang deposit?'
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 12:43 AM
Dikemaskini: 12:43 AM

Pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang merupakan parti komponen GPS dilapor meremehkan rancangan PAS bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Menurut The Borneo Post, Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah mempersoalkan mengapa PAS bersusah payah meletakkan calon sedangkan kebanyakannya akhirnya kehilangan wang deposit dalam PRN sebelum ini.

“Kenapa mereka masih di sini? Saya tidak tahu.

"Saya tidak tahu apa yang mereka mahu.

“Begitu juga dengan parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia, mereka harus kekal di sana dan tidak perlu datang ke sini dan menganggu hal di sini, itu pendapat saya,” katanya dipetik sebagai berkata.

Pada PRN Sarawak 2016, PAS kalah kesemua 11 kerusi yang ditandinginya.

Tujuh calon telah kehilangan wang deposit mereka.

Awal bulan ini, PAS Sarawak berkata akan bertanding semula di 11 kerusi kali ini iaitu Kemena, Beting Maro, Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.

Parti itu kemudiannya mengatakan senarai itu tidak disahkan.

Pada Jumaat (26 Nov), Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan parti itu sebenarnya akan bertanding pada PRN Sarawak 18 Dis tetapi berkata bilangan kerusi masih belum dimuktamadkan.

“PAS akan bertanding di Sarawak dan kita akan tentukan jumlah kerusi selepas perbincangan dengan PAS Sarawak hujung minggu ini.

“PAS yakin pengundi Sarawak akan mengundi calon kita, yang terdiri daripada rakyat Sarawak daripada pelbagai bidang kepakaran dan terkemuka,” katanya seperti dilapor Harakah Daily.

Ini hampir pasti bermakna parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan bertembung dengan GPS kerana parti itu bertanding di semua 82 kerusi.

GPS bukan sebahagian daripada PN secara rasmi tetapi menyokong gabungan pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin itu di peringkat persekutuan.

Sementara itu, Karim mengalu-alukan keputusan Bersatu untuk tidak bertanding PRN Sarawak.

“Pada pendapat saya, ia adalah satu keputusan yang sangat bagus.

“Sebagai rakan di peringkat Parlimen yang bersama-sama membentuk kerajaan pusat, apabila PRN diadakan di Sarawak, sebaiknya serahkan kepada Sarawak untuk mengendalikannya.

“Bersatu belum bertapak di sini dan mereka masih baru, kerana sebelum ini, mereka tiada di Sarawak,” katanya.

Bahagian Sarawak Bersatu telah dilancarkan pada Disember 2018.

Mengenai spekulasi bahawa BN akan meletakkan calon pada PRN akan datang, Karim menyifatkan ia sebagai khabar angin oleh laskar siber.

“Bagi saya, apa yang dipaparkan dalam media sosial adalah hasil kerja kanak-kanak yang nakal.

"Saya tidak fikir mereka akan datang ke sini. Kami percaya kepada mereka yang mengendalikan BN. Mereka tidak akan melakukan perkara nakal seperti itu,” katanya lagi.

Lihat Komen