Permohonan mahkamah untuk batalkan pemilihan PRS
Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Jimmy Donald telah memohon kepada mahkamah semalam untuk menghalang kumpulan Presiden parti itu, Datuk Dr James Masing daripada mengadakan pemilihan parti itu di Sibu pada 2 Disember depan.
Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Jimmy Donald telah memohon kepada mahkamah semalam untuk menghalang kumpulan Presiden parti itu, Datuk Dr James Masing daripada mengadakan pemilihan parti itu di Sibu pada 2 Disember depan.
Jimmy, yang juga Ahli Parlimen Sri Aman dan penyokong kumpulan Timbalan Presiden, Datuk Sng Chee Hua, memohon melalui peguamnya, Lim Eng Choo kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuching, Gabriel Gumis untuk mendapat writ supaya Masing hadir di mahkamah pada 28 November ini.
Permohonan itu telah diluluskan. Difahamkan, writ tersebut dalam proses diserahkan kepada Masing yang sedang menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jurucakap kumpulan Sng berkata, parti itu akan mengemukakan semua surat menyurat rasmi kepada mahkamah semasa permohonan itu didengar nanti, sebagai alasan mengapa mesyuarat perwakilan itu tidak boleh diteruskan.
Sebelum itu, mereka telah mendesak kumpulan Masing supaya membatalkan mesyuarat perwakilan itu, dengan mendakwa ianya tidak sah, dan boleh mengakibatkan pendaftaran parti itu dibatalkan.
Kumpulan Masing telah memberitahu malaysiakini bahawa mesyuarat perwakilan itu akan diteruskan "kecuali ada pihak yang dapat memberi justifikasi dan sebab-sebab yang sah mengapa ia tidak boleh diadakan".
Diselubungi kebimbangan
Kumpulan Sng jelas bimbang, jika kumpulan Masing meneruskan mesyuarat tersebut bersama pemilihan parti, tanpa penyertaan perwakilan dan cawangan yang sah, maka parti itu akan berdepan dengan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya, sebagaimana yang berlaku kepada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebelum ini.
Mereka yang tidak sehaluan dengan Masing mendakwa beliau tidak mengendahkan peruntukan tertentu dalam perlembagaan parti, dan tindakan itu boleh menimbulkan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan.
Bagaimanapun Masing mendakwa mendapat sokongan majoriti perwakilan parti, serta menegaskan bahawa krisis kepimpinan PRS memerlukan penyelesaian politik.
Jika writ tersebut dapat diserahkan kepada Masing dalam tempoh satu dua hari ini, maka Masing tiada pilihan tetapi perlu hadir di mahkamah untuk mempertahankan keputusannya untuk meneruskan mesyuarat perwakilan tersebut.
Dan mahkamah akan membuat keputusan mengenainya. Berita asal

