Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysiakini ungguli Kewartawanan Multimedia Cemerlang 2020

Pasukan Malaysiakini mengungguli Kategori Kewartawanan Multimedia Cemerlang bagi Hadiah Kewartawanan Malaysia 2020 MPI – Petronas yang diumum malam ini.

Ia adalah kejayaan tahun kedua berturut-turut untuk Malaysiakini bagi kategori berkenaan.

Kemenangan bagi kategori Kewartawanan Multimedia Cemerlang 2020 itu melibatkan siri laporan interaktif berjudul Track Covid-19 Outbreak in Malaysia; 63 years after Merdeka, Malaysian children attend camp to learn how to be friends; dan Spend like an MP.

Laporan pertama menyaksikan Malaysiakini menawarkan kemudahan penjejak Covid-19 yang membolehkan pengguna mengikuti statistik harian dan maklumat terperinci mengenai situasi pandemik tersebut di Malaysia.

Turut dimuatkan ialah kemas kini kluster baru dan kes kematian.

Laporan kedua pula melibatkan liputan berkenaan pelajar muda Malaysia dari sekolah monoetnik atau monoagama yang berkumpul dalam satu perkhemahan untuk belajar berkawan dengan rakan sebaya mereka dari latar belakang yang berlainan.

Spend like an MP pula permainan interaktif berdasarkan peruntukan sebenar yang diberikan kepada seseorang ahli parlimen di negara ini.

Lee Long Hui

Pengguna boleh bermain dan melihat sekilas pandang perkara yang boleh dilakukan oleh seseorang ahli parlimen dengan peruntukan yang mereka terima daripada kerajaan.

Wartawan yang terlibat ialah Lee Long Hui, Aidila Razak, Syariman Badrulzaman, Hazman Hazwan Sulaiman, Ho Kin Kyun, Thiagaraj Devaraj, Geraldine Tong, Kow Gah Chie, Nigel Aw dan Wong Kai Hui.

Dengan kemenangan itu pasukan Malaysiakini menerima wang tunai RM10,000, piala dan sijil.

Laporan tersebut turut disenarai pendek untuk dinilai bagi anugerah Hadiah Kajai.

Bagaimanapun bagi Hadiah Kajai, ia dimenangi wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin dan Muhammad Afham Ramli yang membuat laporan khas mengenai kartel daging di negara ini.

Salah seorang editor Malaysiakini, Martin Vengadesan, turut disenarai pendek untuk dinilai bagi kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang terbaik.

Pemenang emas bagi kategori itu ialah pengarang Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil, diikuti Rajan David Christy dari New Straits Times (perak) dan Syah Rul Aswari Abdullah dari Harian Metro (gangsa).

Kejayaan malam ini lebih bermakna apabila ia adalah kemenangan kedua Malaysiakini pada hari ini selepas salah seorang wartawannya, Wong Kai Hui, diumumkan sebagai pemenang Anugerah Wartawan Muda Yayasan Thomson.

Wong dipilih sebagai pemenang selepas juri menilai hampir 200 calon yang disenaraikan dari 55 negara.

Lihat Komen
ADS