Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu harga barang: Wan Saiful gesa Najib henti tuding jari, sorot kisah harga kangkung
Diterbitkan:  Dec 1, 2021 10:49 AM
Dikemaskini: 2:49 AM

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata bekas perdana menteri Najib Razak tidak perlu menuding jari terhadap pihak lain berhubung isu kenaikan harga barangan keperluan asas.

Dia berkata demikian ketika menafikan dakwaan Najib bahawa Bersatu sedang menyusun propaganda untuk menumbangkan pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dengan menghangatkan isu kenaikan harga barangan asas.

“Najib kata Bersatu susun propaganda untuk jatuhkan PM. Saya nafikan. Ini fitnah," katanya dalam kenyataan.

“Tapi tidak pelik fitnah itu datang dari Najib. Itulah kata-kata orang berpengalaman bersama rakan-rakannya yang pernah jatuhkan perdana menteri.

“Dia ingat semua orang perangai macam dia?” katanya lagi, merujuk tindakan sekumpulan ahli parlimen Umno yang menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sehingga hilang majoriti sebagai perdana menteri.

Menurut Wan Saiful, hakikatnya isu kenaikan barangan asas memang menjadi kebimbangan serius di lapisan masyarakat.

Semalam, di Dewan Rakyat, ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat turut mencabar Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi supaya meletakkan jawatan jika dia gagal menyelesaikan kenaikan harga barang menjelang 9 Disember.

Ini susulan kenyataan Alexander yang pada 25 November bahawa isu itu akan diselesaikan dalam beberapa minggu.

Wan Saiful juga secara sinis menyorot kenyataan Najib ketika pentadbiran sebelum ini, yang pernah membangkitkan penurunan harga kangkung ketika rakyat mengeluh kenaikan harga barangan asas.

“Cerita bab barang naik ni mesti rakyat teringat kisah Najib dan kangkung.

“Najib tak perlulah melatah menuding jari menyalahkan orang lain.

“Segerakanlah solusi, atau sebenarnya cuba alih perhatian sebab 8 Disember sudah dekat?" soalnya, merujuk kepada tarikh keputusan rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pada 2014, kenyataan Najib tersebut menjadi bahan jenaka di media sosial dan juga mendapat kritikan yang hebat, serta menarik perhatian media antarabangsa.

Ketika itu dia bercakap mengenai bagaimana kerajaan tidak patut dipersalahkan kerana harga ikan dan sayur-sayuran yang tidak menentu, yang menurutnya bergantung kepada cuaca.

Tambahnya, pengkritik menyalahkan kerajaan kerana harga makanan yang mahal tetapi tidak pernah memuji kerajaan apabila harga turun, dengan memberikan harga kangkung sebagai contoh.

Lihat Komen
ADS