Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan rayuan Najib dalam kes SRC pada 8 Disember
Diterbitkan:  Nov 23, 2021 3:09 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Mahkamah Rayuan di Putrajaya menetapkan 8 Dis ini untuk keputusan rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan keputusan itu akan disampaikan pada 9 pagi.

Rayuan kes itu yang didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berlangsung selama 15 hari dan selesai pada 18 Mei lalu.

Najib, 68, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan CBT dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun, bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah membenarkan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.

- Bernama

Lihat Komen
ADS