Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Bersatu susun propaganda untuk tumbangkan Ismail Sabri
Diterbitkan:  Nov 30, 2021 1:57 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa bahawa Bersatu sedang menyusunkan propaganda untuk menumbangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata bahawa objektif utama mereka ialah untuk mengembalikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"Page-page propaganda PPBM-PN utama seperti page Otai pun telah memulakan serangan bertubi-tubi ke atas PM Ismail Sabri.

"Isu utama yang mereka gunakan sekarang ialah harga barang naik biarpun inflasi sudah mula naik mencanak dan harga sering cecah paras tertinggi masa Muhyiddin jadi PM," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dia berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Ketua Penerangan II Bersatu Malaysia, Dr Afif Bahardin bahawa Bersatu akan berusaha untuk menjadikan Muhyiddin sebagai perdana menteri, sekali lagi.

Najib turut berkongsi beberapa pautan laman yang mengecam kenaikan harga barang yang didakwa olehnya sebagai satu propaganda terhadap Ismail Sabri daripada Bersatu.

"Paling membimbangkan ialah menteri-menteri dalam kerajaan Ismail Sabri juga merupakan menteri utama yang mengatur dasar ekonomi, pertanian, kewangan, perladangan yang mempengaruhi harga barang khususnya harga makanan juga adalah dari parti yang mahu tumbangkan Ismail.

"Diorang (Mereka) serang Ismail berkenaan harga barang naik tapi korang (mereka) juga yang bertanggung jawab atas dasar-dasar yang disebabkan harga barang naik," katanya.

"Sejak bulan April saya telah menjelaskan punca kenaikan harga serta memberi pelbagai cadangan untuk kawal atau redakan kenaikan harga barang. Kenapa menteri-menteri ini tak mahu pertimbangkan?" soalnya lagi.


Lihat Komen
ADS