'Sukar laksanakan e-undi, perluas undi pos untuk PRN Sarawak'
Masa dan sumber yang ada tidak mencukupi untuk melakukan beberapa pembaharuan pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak akan datang termasuk melaksanakan e-undi dan memperluaskan undi pos, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Mas Ermieyati Samsudin.
“Bagaimana ia (e-undi) boleh dilakukan dalam masa tiga minggu sahaja?
"Saya juga telah cuba mendesak untuk mengadakan undi secara elektronik semasa pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini," katanya dipetik The Star.
Dia berkata demikian ketika menjawab usul tergempar berhubung pembaharuan pilihan raya yang dikemukakan oleh Kelvin Yii (Pakatan Harapan-Bandar Kuching) di kamar khas Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, The Vibes memetik timbalan menteri itu sebagai berkata halangan logistik merupakan sebab mengapa undi pos untuk rakyat Sarawak yang berada di negeri lain sukar dilaksanakan.
“Terdapat isu teknikal untuk mengumpulkan semua kertas undi, kerana pengundian berdasarkan kawasan dalam DUN.
“Oleh kerana ia melibatkan 82 kerusi DUN, ini bermakna ia memerlukan 82 peti undi diletakkan di setiap pusat mengundi (di luar Sarawak).
“Akan ada masalah dari segi pengurusan logistik dan ia memerlukan bilangan pegawai pilihan raya yang ramai,” kata Mas Ermieyati.
Undi pos pada masa ini hanya dilaksanakan untuk rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara, anggota pasukan keselamatan, media dan petugas pilihan raya.
Sebelum ini ahli-ahli parlimen di Sabah dan Sarawak menggesa supaya E-undi atau langkah memperluaskan undi pos dilaksanakan memandangkan perjalanan pergi balik merupakan halangan logistik bagi pengundi yang tinggal di Semenanjung, terutama kos penerbangan yang tinggi.
Dalam perkembangan berasingan, kerajaan turut mengisytiharkan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun akan berkuat kuasa pada 15 Dis - tiga hari sebelum PRN Sarawak.
Bagaimanapun, mereka yang berumur 18 tahun berkemungkinan besar tidak boleh mengundi semasa PRN berkenaan memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) biasanya akan menggunakan daftar pemilih sebelum hari penamaan calon.
Hari penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada Isnin depan, 6 Dis.

