Benih tak berkualiti: Pesawah di Selangor kerugian hingga RM10,000 setahun
Pesawah kawasan jelapang padi di kawasan Sekinchan, Permatang dan Sabak mengalami kerugian sehingga RM5,000 semusim dan RM10,000 setahun, kerana kemerosotan hasil tuaian padi didakwa akibat benih padi kurang berkualiti, gred permutuan padi serta potongan beras basah yang dikenakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim berkata hasil tuaian yang diperolehi pesawah, merosot sehingga ke lima hingga enam tan berbanding tuaian sebelum ini, yang boleh mencecah sehingga 10 tan semusim.
“Selain berpunca daripada faktor luar kawalan seperti cuaca, serangan penyakit-penyakit padi turut sukar diatasi dengan mujarab.
“Antaranya (penyumbang ke arah kemerotan hasil) adalah benih padi yang disalurkan tidak berkualiti dan tidak lasak,” katanya pada sidang media di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau yang juga Speaker DUN Selangor berkata benih padi yang tidak berkualiti yang dikenal pasti itu ialah MR 307, 303, 297 dan CL2, yang diagihkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
“Dengan kemerosotan hasil ini telah menyebabkan pesawah sengsara dan menimbulkan implikasi kewangan sehingga petani tidak mampu membayar sewa dan pinjaman,” katanya.
Ng berkata sudah sampai masa subsidi benih padi digubal melalui kaedah baru iaitu menyalurkan wang subsidi terus kepada akaun petani, agar petani bebas membeli benih padi selain gred permutuan padi dan potongan beras basah yang dikenakan hingga lebih 20 peratus, yang dilihat turut membebankan pesawah.
Beliau yang turut bersama ADUN Sabak Ahmad Mustain Othman dan ADUN Permatang Rozana Zainal Abidin pada sidang media tersebut, memohon Menteri Pertanian dan Industri MakananI Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk membantu kadar potongan beras basah diturunkan kepada 17 peratus, sebagaimana yang dituntut oleh pesawah sejak dahulu, berbanding 20 ke 23 peratus pada ketika ini.
Selain itu wakil ADUN tersebut turut memohon Kiandee agar turut mempertimbangkan pemberian bantuan khas sekali beri sejumlah RM2,000, untuk disalurkan kepada pesawah untuk meringankan beban mereka.
“Bantuan secara sekali beri ini, sekurang-kurangnya menjadikan petani terus komited terhadap usaha menanam padi demi memastikan kelestarian pengeluaran padi di Sekinchan untuk menjamin bekalan keselamatan makanan negara,” kata Ng.
- Bernama

