mk-logo
Berita
Lebih banyak kes positif Covid-19 dikesan di sekolah Cyberjaya
Diterbitkan:  Dec 2, 2021 9:32 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

COVID-19 | Jumlah kes Covid-19 dalam kluster yang berpusat di Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya kini meningkat kepada 139 hari ini berikutan siri ujian baru yang dijalankan pihak berkenaan..

Mereka terdiri daripada 114 pelajar, 15 guru dan 10 kakitangan sokongan sekolah berasrama penuh terbabit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata semua kes positif akan dirujuk ke Pusat Kuaratnti dan Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) manakala kontak rapat akan ditempatkan di stesen kuarantin kerajaan.

“Semua 139 kes positif Covid-19 berada dalam keadaan stabil dan dalam kategori satu atau kategori 2A,” katanya.

Menurut laman web CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 98.6 peratus daripada populasi pelajar sekolah dan semua kakitangannya - termasuk kakitangan sokongan - telah diberi vaksin lengkap.

Sha’ari berkata kes indeks kluster Persiaran Tasik itu adalah seorang guru yang mula mengalami simptom pada 22 Nov lalu sebelum disahkan dijangkiti Covid-19 dua hari kemudian.

Pengesanan kontak awal mengenal pasti tujuh lagi kes terdiri daripada enam pelajar dan seorang guru, dan kluster Persiaran Tasik diumumkan KKM pada 29 Nov.

Pejabat Kesihatan Daerah Sepang kemudiannya menguji 240 pelajar pada 1 Dis dan mengenal pasti 65 kes baru.

Ujian diteruskan ke atas 523 orang lagi hari ini, terdiri daripada 432 pelajar, 53 guru dan 38 kakitangan sokongan. Hasilnya KKM mengenal pasti 65 kes baru terdiri daripada 43 pelajar, 13 guru dan sembilan kakitangan.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di situ sehingga 3 petang tadi meningkat kepada 139 kes daripada 946 orang, bersamaan dengan 14.7 peratus.

Malam tadi, pasukan komunikasi Menteri Pendidikan Radzi Jidin menciap bahawa ini adalah kali pertama sekolah berasrama penuh melaporkan begitu banyak kes Covid-19.

Untuk konteks, kluster pendidikan ialah kategori kluster aktif kedua paling banyak selepas kluster tempat kerja. Daripada 226 kluster yang aktif semalam, 112 kluster tempat kerja dan 53 kluster pendidikan.

Kluster pendidikan aktif terbesar setakat semalam ialah kluster Jalan Bypass 2 dengan 228 kes setakat ini sejak kluster itu mula dikenal pasti pada 9 Nov.

Kluster itu melibatkan institusi pendidikan di Jalan Bypass di Segamat, Johor, dan merupakan kali kedua kluster Covid-19 meletus di sana, menurut data yang disiarkan di repositori data Github KKM.

Secara keseluruhan, terdapat 775 kes aktif dalam kalangan 53 kluster pendidikan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS