Sabah umum bantuan khas setengah bulan gaji untuk penjawat awam
Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengumumkan bantuan khas setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 20,271 penjawat awam negeri itu yang akan dibayar pada Januari tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata bantuan yang turut diberi kepada penjawat awam sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian itu bertujuan mengiktiraf jasa dan peranan penjawat awam yang tidak pernah luntur semangat memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar walaupun terkesan Covid-19.
"Di samping itu, kerajaan negeri juga akan membiayai kerja-kerja awalan pembinaan perumahan mampu milik kepada penjawat awam negeri.
"Saya berharap insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 di Kota Kinabalu hari ini.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata bagi memaksimumkan penggunaan ruang digital untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan tugas harian, sebanyak RM56.44 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan digital untuk kegunaan penjawat awam.
Beliau berkata RM3.75 juta diperuntukkan untuk meneruskan pembangunan Kerajaan Elektronik (e-Goverment) dan Program Pembangunan ICT, manakala untuk 2022 hingga 2025, kerajaan kegeri melalui Sabah Net akan terus menaik taraf talian Internet semua pejabat kerajaan kepada rangkaian fiber optik berkelajuan 30Mbps hingga 100Mbps.
"Bagi tujuan peningkatan kualiti, ilmu pengetahuan dan perkembangan kerjaya, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.35 juta untuk menaja penjawat awam melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana dan Kedoktoran di universiti di dalam dan luar negara yang terpilih," katanya.
- Bernama

