Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Bersatu harap jadi calon PN di Bintulu
Diterbitkan:  Dec 5, 2021 8:47 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

PRN SARAWAK | Ketua Penerangan Bersatu Sarawak Duke Janteng menggesa kepimpinan Perikatan Nasional meletakkan dirinya sebagai calon DUN Kemena.

Menurut Borneo Post, Duke (gambar, judul) berkata pencalonannya disokong majoriti ahli Bersatu di Bintulu.

"Kita bertanding atas tiket Bersatu sekiranya diberi peluang namun kita akan tetap menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) di peringkat pentadbiran," katanya.

Duke berkata dia sedar sekiranya dibenarkan oleh pucuk pimpinan parti untuk menjadi calon, dirinya akan berdepan dengan calon GPS yang mempertahankan kerusi itu.

Bagaimanapun, dakwanya dia hanya bertindak mengikut kehendak ahli akar umbi Bersatu di sana.

Sejak Bersatu menjejakkan kaki ke Sarawak pada 2018, Duke berkata dia giat menganjurkan aktiviti parti di Bintulu, kawasan terletaknya DUN Kemena.

Dia mendakwa Bersatu mempunyai lebih 23,000 ahli di kawasan Bintulu yang mana 13,000 daripadanya sahaja berada di Kemena.

Dakwaan Duke itu bermakna hampir setiap pengundi di Kemena merupakan ahli Bersatu kerana, pada pilihan raya 2016, terdapat 12,991 pemilih berdaftar di kawasan itu.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin telah mengumumkan gabungan pimpinannya itu tidak akan meletakkan calon untuk pilihan raya Sarawak.

Sementara itu, calon GPS Krian, Friday Belik pula berharap dia akan mendapat sokongan daripada penyandang kerusi Ali Biju dan penyokongnya.

"Belum ada perbincangan secara formal lagi. Mungkin dalam sedikit masa lagi. Kita akan mendapatkan dan berbincang dengan beliau.

"Kita mengharapkan sokongan dan bantuan daripada beliau bersama penyokongnya untuk bekerjasama dengan kita. Kalau itu (boleh dilakukan) ia beri peluang kemenangan yang cerah kepada GPS," katanya, lapor Astro Awani.

Semalam, Ali berkata dia mungkin akan bertanding untuk menjadi Adun Krian bagi penggal ketiga.

Dia berkata perbincangan melibatkan Muhyiddin dan Pengerusi GPS Abang Johari Openg masih diteruskan.

Lihat Komen
ADS