Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
114 pelajar Sekolah Seri Puteri kuarantin di Maeps dalam keadaan baik
Diterbitkan:  Dec 5, 2021 1:43 PM
Dikemaskini: 2:34 PM

Kesemua 114 pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri Cyberjaya yang sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) kerana positif Covid-19 berada dalam keadaan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menasihatkan ibu bapa kesemua pelajar terbabit agar tidak bimbang kerana anak-anak mereka dijaga dengan baik di pusat kuarantin itu.

“Ibubapa tidak perlu bimbang kerana makanan di sini cukup.

"Cuma amalan (ibubapa) menghantar makanan kepada anak-anak tiap-tiap minggu (seperti ketika anak mereka di asrama) tidak boleh di Maeps kerana takut ada unsur keracunan makanan," katanya kepada Bernama selepas lawatan ke pusat kuarantin itu bagi melihat keadaan pelajar terbabit hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Pengarah PKRC Maeps Dr Shahabuddin Ibrahim.

Sementara itu, Abdul Latiff mengajak pelajar di pusat kuarantin berkenaan untuk menyertai pertandingan menulis esei anjuran kementeriannya dengan menceritakan pengalaman masing-masing sepanjang berada di pusat kuarantin itu.

Abdul Latiff berkata dua kategori dipertandingkan iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan hadiah wang tunai RM500 untuk juara, RM300 untuk naib juara, RM100 untuk tempat ketiga dan RM50 hadiah sagu hati.

Beliau berkata inisiatif terbabit sebagai galakan kepada pelajar untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah ketika menjalani kuarantin.

Pada 1 Dis lepas, sebanyak 65 pelajar SBP Sekolah Seri Puteri Cyberjaya dihantar ke Maeps manakala 49 orang lagi dihantar pada keesokan harinya kerana positif Covid-19 kategori satu dan dua untuk menjalani kuarantin.

Kategori satu dan dua merujuk kepada pesakit yang tidak mempunyai sebarang gejala atau memiliki gejala ringan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS