Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GPS janji kesinambungan, S'wak bebas dari kawalan parti luar
Diterbitkan:  Dec 8, 2021 3:13 PM
Dikemaskini: 3:13 PM

PRN SARAWAK | Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membuat 33 janji kepada pengundi secara umum.

Ikrar itu yang dibacakan oleh pemimpin GPS Abang Johari Abang Openg hari ini, menekankan tentang keperluan untuk kesinambungan dan kebebasan daripada cengkaman kuasa politik lain.

"Sarawak memerlukan satu gabungan parti politik anak Sarawak yang kuat dan bersatu bagi berjuang membela nasib rakyat Sarawak tanpa dikawal dan dipengaruhi oleh parti-parti politik luar.

"GPS menggabungkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People’s Party (SUPP) dan Progressive Democratic Party (PDP) merupakan parti politik anak Sarawak yang unggul mewakili semua lapisan masyarakat di Sarawak.

"GPS telah berjaya mentadbir Sarawak mengikut acuan sendiri dan boleh membuat keputusan tanpa merujuk kepada mana-mana komponen parti di peringkat Persekutuan," kata Abang Johari.

'PH sekat projek'

Pun begitu, tidak seperti sesetengah parti pembangkang, 33 janji GPS ini merupakan garis besar objektif mereka dan bukannya ikrar yang jelas.

Antara lain, GPS menjanjikan autonomi untuk Sarawak, menegakkan Perjanjian Malaysia 1963 dan mengiktiraf hak tanah adat Orang Asal.

GPS telah berjanji untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan "berpendapatan tinggi menjelang 2030."

Abang Johari berkata GPS mempunyai rekod prestasi yang terbukti dan pentadbiran Pakatan Harapan membatalkan banyak projek dan pembiayaan untuk negeri itu.

"GPS membela Sarawak dengan meneruskan pelaksanaan projekprojek pembangunan yang dibatalkan ini menggunakan peruntukan Kerajaan GPS Sarawak," katanya.

Abang Johari berkata pentadbiran GPS telah pun memulakan beberapa projek pembangunan utama yang akan direalisasikan dalam beberapa tahun lagi dan menggesa pengundi menyokong gabungan itu untuk kesinambungan.

Antara lain, Abang Johari memetik projek Lebuhraya Pan Borneo, projek Projek Jalan Utama Kedua, projek Sistem Transit Aliran Automasi (ART) dan pembangunan berterusan projek infrastruktur 5G.

Dia juga berjanji semua isi rumah di Sarawak akan mendapat akses kepada air terawat dan elektrik menjelang 2025.

Katanya, program transformasi luar bandar yang sedang dijalankan melibatkan pembiayaan RM5 juta bagi setiap Adun berjalan lancar dan berjanji untuk melanjutkan program itu.

 


Lihat Komen
ADS