Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Bila pejuang agama nak haramkan penjualan rokok pada orang Islam?

ULASAN | Mutakhir ini, kalangan yang mendakwa diri sebagai pejuang Islam dan pembela ummah bergerak giat untuk menghapuskan dosa, dengan melarang perjudian dan menyukarkan penjualan arak.

Ini dilakukan demi melindungi masyarakat daripada binasa dan gejala sosial, termasuklah orang bukan Islam. Kalangan pejuang ini merasakan golongan ini perlu dibimbing demi kebaikan.

Namun, jika pejuang agama ini betul-betul sayangkan masyarakat, maka mereka haruslah bergerak untuk mengharamkan dan melarang satu lagi gejala sosial yang bukan sahaja membahayakan diri, malah orang sekeliling.

Gejala ini adalah tabiat merokok.

Majlis Fatwa Kebangsaan dengan jelas menyatakan yang merokok - dan juga menghisap vape - adalah haram bagi umat Islam.

Namun, seorang Muslim yang umurnya lebih 18 tahun boleh membeli rokok, tembakau atau produk lain yang mempunyai nikotin dengan begitu mudah tanpa sebarang tindakan undang-undang.

Ini termasuklah di negeri yang dipimpin oleh kerajaan Islam yang berpandukan Quran, hadis, dan ulama seperti Kedah dan Kelantan.

Malah, perokok Muslim ini begitu angkuh sehingga berani melakukan dosa merokok di tempat yang dilarang merokok atau vape, termasuklah di Dewan Rakyat.

Ini sangat tidak mencerminkan peribadi dan tingkah laku seorang Muslim yang beriman.

Adalah jelas bahawa ketagihan nikotin itu sesuatu yang amat memudaratkan.

Sains dengan jelas menunjukkan bahawa merokok boleh menyebabkan kanser dan ia juga memudaratkan mereka di sekeliling, yang terpaksa bernafas di tengah-tengah asap rokok.

Apakah pejuang Islam ini tidak kasihan kepadai anak-anak yang tinggal dengan bapa atau ibu yang merokok. Ini bukan sahaja memudaratkan kesihatan anak-anak, tapi juga menjadi contoh yang buruk untuk mereka membuat perkara yang mungkar.

Tabiat yang jijik dan bahaya ini perlu dihentikan.

Justeru, saya menyeru mereka yang menganggap diri sebagai pembela ummah dan pejuang Islam untuk segera mengambil langkah untuk mengharamkan dari segi undang-undang penjualan dan menghisap rokok, vape, dan produk tembakau lain bagi Muslim.

Pasti akan ada golongan yang ketagih merokok akan mendakwa bahawa berhenti tabiat itu akan memudaratkan, maka adalah harus atau makruh bagi mereka merokok.

Jangan terpedaya. Ini adalah helah penagih.

Sebagai bekas penagih rokok, saya boleh sahkan, bahawa berhenti merokok itu memang sukar. Memang akan rasa tak sedap badan dan malah ada yang mungkin demam.

Ini kerana badan kita dahagakan racun nikotin. Ia sebahagian proses pemulihan untuk kita berhenti ketagih.

Namun ia tidak sesekali memudaratkan. Selepas hilang ketagihan itu, maka sakit-sakit berhenti merokok itu akan hilang.

Ia adalah selamat, sedangkan membiarkan penagih itu terus merokok adalah memudaratkan dan juga membenarkan mereka terus berdosa melakukan perkara yang jelas haram dari segi agama.

Negeri seperti Kedah dan Kelantan tidak mempunyai alasan untuk tidak mengikuti fatwa yang mengharamkan rokok, dan terus melarang penjualan rokok kepada semua orang Islam.

Jika mereka benar mahu membela ummah, maka ini adalah langkah yang harus mereka ambil.

Janganlah kita hipokrit atau munafik yang hanya ambil langkah mudah terhadap perkara yang memang sudah dilarang dari segi undang-undang untuk orang Islam.

Janganlah kita hipokrit atau munafik yang hanya menindas hak bukan Islam demi meraih mata politik dengan mudah sambil menunggang agama.

Hipokrit dan munafik sangat dibenci Islam, dan mana-mana kerajaan Islam yang bagus haruslah tidak menjadi golongan munafik yang menunggang agama dan menyalahgunakan agama Islam.


ZIKRI KAMARULZAMAN adalah bekas perokok yang berjaya berhenti perkara haram ini sejak Ramadan 2015.

Lihat Komen
ADS