USJKT - ‘Takkan polis nak kawal polis’
Aktivis veteran Ivy Josiah mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) bawah kelolaan pasukan itu dan turut melibatkan anggotanya.
Katanya langkah yang diumumkan Menteri Dalam Negeri Minister Hamzah Zainudin itu sukar untuk menjadi badan semak dan imbang.
“Secara mudah - polis tak boleh diharapkan untuk kawal polis,” kata Ivy yang pernah menganggotai suruhanjaya diraja untuk meningkatkan operasi dan pengurusan polis.
Katanya, kerajaan perlu membentuk badan luar yang bebas untuk menyiasat kes kematian dalam tahanan dan menetapkan standard bagaimana sesuatu aduan itu harus ditangani oleh polis.
Pada 6 Disember lalu, Hamzah berkata, polis akan menubuhkan USJKT bagi menyiasat kes kematian dalam tahanan bermula 1 Januari.
Unit itu terdiri daripada 12 anggota polis yang diketuai pegawai berpangkat superintenden serta seorang pegawai awam. Mereka akan meneliti kes sama ada wujud kecuaian dan unsur jenayah.

